Berita

AmInvestment Bank semak turun sektor minyak dan gas



KUALA LUMPUR, 9 Mac -- AmInvestment Bank telah menyemak turun sektor minyak dan gas (O&G) kepada 'underweight' iaitu saranan pelabur mengurangkan pegangan saham berbanding 'overweight' atau bernilai tinggi, sebelumnya.

Ini susulan perang harga minyak yang agresif dilancarkan oleh Arab Saudi ke atas saingannya, Rusia selepas Moscow enggan menyertai usul Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan pengeluaran komoditi tersebut.

Laporan menyatakan Arab Saudi akan mengeluarkan lebih 11 juta tong sehari pada bulan depan daripada sembilan juta tong pada masa ini selain turut mengumumkan diskaun 20 peratus bagi pasaran utamanya.

“Arab Saudi dijangka mengumumkan bahawa minyak mentahnya ke barat laut Eropah - pasaran utama minyak Rusia, akan dijual pada harga diskaun berbanding harga rujukan lebih US$8 setong daripada (paras) Mac, 2020," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Bank pelaburan itu turut menyifatkan perang harga baharu itu berkemungkinan besar lebih buruk daripada tempoh 2014-2017, sekali gus menurunkan unjuran harga minyak bagi 2020 kepada US$40-US$45 setong.

Harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras dunia, susut sebanyak 32 peratus sejak awal tahun ini kepada US$45 setong manakala kontrak niaga hadapan April didagangkan lebih rendah kepada US$35.80 setong pada masa ini.

Ia turut menyemak semula saranan 'beli' untuk Bumi Armada, Dialog Group, MISC, Sapura Energy,  Serba Dinamik  dan Velesto Energy.

“Walaupun Dialog Group dan  Serba Dinamik  mencatat profil stabil dan perolehan pendapatan yang berteraskan operasi dan khidmat penyelenggaraan termasuk projek di Pengerang, namun sentimen semasa terhadap sektor itu yang lemah akan diterjemahkan dalam bentuk tekanan untuk jualan.

“Oleh itu, kami menyemak turun nilai saksama Dialog kepada RM2.81 manakala  Serba Dinamik  kepada RM1.90 (sesaham),” katanya.

Sementara itu, KAF Equities turut menyemak turun saranan terhadap sektor O&G itu kepada ‘neutral’ berbanding 'overweight.’ 

Ia turut menamakan lima saham yang akan terjejas dengan penyusutan harga minyak semasa iaitu Coastal Contracts ('hold' (pegang) harga sasaran (TP) RM0.82), Bumi Armada ('pegang,' TP: RM0.19), Yinson ('pegang,' TP: RM6.01), Sapura Energy ('jual' TP: RM0.07), Petronas Chemicals ('pegang' TP : RM4.91).

“Selain itu, berdasarkan senario semasa, kami mempertimbangkan MISC dengan saranan ‘beli’ dan TP RM9.36 kerana kedudukannya sebagai pengendali khidmat perkapalan yang diperlukan dalam persekitaran lebih kukuh berikutan harga minyak yang rendah. Ini termasuk lebih banyak perdagangan jenis 'kontango' iaitu membabitkan bayaran tertangguh," katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]