KUALA LUMPUR, 26 Feb -- Keuntungan bersih Serba Dinamik Holdings Bhd melonjak kepada RM496.64 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 (TK19) daripada RM391.48 juta pada tahun sebelumnya.
Perolehannya menokok 37.9 peratus kepada RM4.53 bilion daripada RM3.28 bilion sebelum ini, kebanyakannya disumbangkan oleh segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M), kata penyedia perkhidmatan kejuruteraan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku keempat TK19, perolehan itu melonjak 39.1 peratus kepada RM1.36 bilion daripada RM978.0 juta pada tempoh sama sebelum ini.
Syarikat itu yang menyediakan perkhidmatan kepada sektor tenaga berkata segmen O&M menyumbang sebanyak 85.2 peratus atau RM1.16 bilion kepada jumlah perolehan suku keempat.
Ini mewakili peningkatan sebanyak 32.7 peratus berbanding RM873.32 juta pada tahun sebelumnya yang didorong oleh pertambahan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) kemudahan di Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Malaysia.
Selain itu, segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) menyumbang 10.6 peratus atau RM143.93 juta kepada pendapatan suku keempat yang memaparkan peningkatan ketara sebanyak 38.7 peratus daripada RM103.74 juta, sebelum ini.
“Sebahagian besar daripadanya disumbangkan oleh kilang chlor-alkali Tanzania serta aktiviti dengan Petronas Carigali Sdn Bhd di Malaysia,” katanya.
Sementara itu dalam satu kenyataan media, Pengarah Urusan Kumpulan dan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata keputusan itu mengatasi sasaran dalaman syarikat bagi TK19 termasuk dari segi keuntungan.
"Keputusan kukuh kami dalam kedua-dua segmen O&M dan EPCC juga membuktikan komitmen serta tumpuan kepada keupayaan teras kami dan akan terus mengembangkan lagi usaha itu," katanya.
Beliau berkata produk dan perkhidmatan lain syarikat yang didahului oleh bahagian teknologi maklumatnya turut mencatat pertumbuhan dan memberi sumbangan ketara pada 2019.
"Malah, menerusi kejayaan meraih 12 kontrak di Malaysia, Indonesia dan Oman pada awal tahun ini, kami yakin ini akan menjadi satu lagi tahun yang berhasil. Adalah diharapkan supaya Serba Dinamik dapat mencapai satu lagi kejayaan bagi tahun kewangan berakhir 2019," katanya.
Syarikat itu telah mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 1.40 sen sesaham yang akan dibayar pada 30 Mac, sekali gus menjadikan jumlah dividen tahun ini sebanyak 7.51 sen.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]