Berita

SEDA kukuhkan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui pada 2019



KUALA LUMPUR, 4 Jan -- Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia telah meluluskan kuota 108MW untuk program pemeteran tenaga bersih (NEM) terkumpul untuk tempoh sehingga November 2019.

Pengerusi SEDA Malaysia Wong Kah Woh berkata, jumlah kuota yang diluluskan mencerminkan pertumbuhan positif sebanyak 7.8 kali berbanding dengan tiga tahun lepas, iaitu pada kadar ambilan 13.86MW.

"Kejayaan ini disumbangkan terutamanya oleh program NEM 2.0 yang telah mengalami penambaikan," katanya dalam satu kenyataan mengenai Kad Laporan SEDA Malaysia 2019.

Sementara itu, jumlah kumulatif NEM yang diluluskan pada 2019 adalah yang paling banyak iaitu 94.14MW pada 2019 berbanding 11.53 MW yang direkodkan pada 2018, 2.33 MW dalam 2017 dan 0.01 MW pada 2016.

Berkuat kuasa awal tahun ini, program NEM telah dikemaskini dengan mengguna pakai konsep NEM yang sebenar, yang membolehkan lebihan penjanaan tenaga fotovoltaik solar (PV) untuk dieksport kembali ke grid pada dasar imbalan "One on One".

Katanya, langkah tersebut, mengurangkan tempoh untuk pemulangan pelaburan (ROI) kepada hanya tiga tahun, terutama yang membabitkan pemasangan komersil dan perindustrian yang juga mendapat manfaat daripada pelbagai insentif kerajaan.

"Pada suku keempat 2018, SEDA Malaysia telah memperkenalkan sistem e-Bidaan untuk tenaga boleh diperbaharui (RE) biogas dan ini kemudiannya, diperluaskan kepada hidro kecil di bawah aplikasi 2019 skim Tarif Galakan (FiT) bagi memudahkan penemuan harga untuk tenaga yang boleh diperbaharui termasuk mempromosikan persaingan yang lebih sihat.

"Kadar purata berkesan bagi e-Bidaan pertama bagi biogas pada suku keempat 2018 berada pada RM 0.4055/kWj dan e-Bidaan kedua pada Julai 2019 ditambat pada RM0.4058/kWj. Harga ini adalah jauh lebih rendah daripada kadar efektif RM 0.4669/kWj yang ditawarkan sebelum pengenalan e-Bidaan," katanya.

Menurut beliau, ini diterjemahkan kepada jumlah penjimatan ke atas dana tenaga boleh diperbaharui sebanyak RM683 juta pada sepanjang tempoh perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun bagi kedua-dua bahagian tersebut.

Wong berkata FiT telah berjaya dalam memacu agenda tenaga boleh diperbaharui di Malaysia sejak lapan tahun lepas dengan 10,269 aplikasi FiT dengan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 614.93MW berjaya dipasang untuk operasi komersial pada November 2019.

Sejak Mei 2018, sejumlah 394 projek yang tidak memenuhi kehendak yang disasarkan telah ditarik balik, mengembalikan semula 211MW kembali kepada kuota dan menjimatkan kira-kira RM2.6 bilion dari segi bayaran tenaga bagi tempoh perjanjian pembelian tenaga keseluruhan.

Untuk 2020, Wong berkata SEDA sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan terus membantu, mempromosi dan membangunkan satu kaedah terbaik bagi kemajuan tenaga mampan (SE) dalam bentuk tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga di Malaysia.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Singapura Berminat Kukuhkan Kerjasama Dengan Sarawak Berkaitan Tenaga Boleh Diperbaharui

KUCHING, 11 Sept (Bernama) -- Singapura berminat untuk mengukuhkan kerjasama dengan Sarawak, terutama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui kerana lokasinya yang strategik dan sumber asli yang luas, kata Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua bagi Perdagangan dan Industri Singapura Dr Tan See Leng.


Terengganu Inc, TNB Genco Bangunkan Ladang Solar Terapung Jana 2,000MW Tenaga Elektrik

KUALA TERENGGANU, 11 Sept (Bernama) -- Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dengan kerjasama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) mewujudkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang dijangka menjana sehingga 2,000 megawatt (MW) tenaga elektrik.


PETRA, Johor Kerjasama Pastikan Bekalan Air Dan Tenaga Cukup Bagi Pelabur

KLUANG, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan bekerjasama erat dengan kerajaan Johor bagi memastikan bekalan air dan tenaga mencukupi untuk keperluan pelabur di negeri ini.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]