Oleh Aisha Hani Nor Azmir dan Rozlin Rusharmeen Rosmin
KUALA LUMPUR, 3 Jan -- Malaysia akan memaksimumkan potensi sektor industri hijau dan tenaga boleh diperbaharui pada tahun ini untuk mencapai matlamat menjadi hab teknologi hijau di Asia Tenggara dalam masa terdekat.
Komitmen itu dinyatakan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin yang berazam untuk memacu Malaysia menjadi peneraju dalam industri itu.
“Kami telah lakukan banyak usaha berkaitan tenaga boleh diperbaharui dan industri hijau kerana kami mempunyai sasaran untuk dicapai.
“(Dengan mencapai sasaran) dengan itu negara kita boleh menjadi peneraju dan bukan sekadar mencontohi pihak lain (negara) dalam perkara ini (industri hijau),” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Yeo berkata untuk mengemudi industri itu, kerajaan perlu progresif dan menetapkan dasar sebelum negara lain berbuat demikian untuk memastikan syarikat Malaysia berada di barisan hadapan.
Selaras dengan visi itu, kerajaan antara lain telah melaksanakan beberapa inisiatif proaktif termasuk menambah baik Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) menggunakan asas “satu atas satu” dan dasar pajakan solar menerusi Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE).
Pelaksanaan NEM 2.0 membolehkan pemilik bangunan mengurangkan bil elektrik mereka serta mengurangkan pengeluaran karbon, yang bertujuan untuk menggalakkan penjanaan tenaga solar di bumbung di negara ini.
Skim NEM adalah inisiatif solar photovoltaic (PV) oleh kementerian untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Sementara itu, Dasar Pajakan Solar telah membolehkan syarikat perkhidmatan solar menawarkan pakej kos pendahuluan sifar, sekali gus menawarkan peluang kepada pengguna untuk memanfaatkan dasar NEM2.0.
Dasar tenaga boleh diperbaharui turut mendapat rangsangan dalam Belanjawan 2020 menerusi Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE).
Insentif cukai turut diperkenalkan kepada syarikat yang melaksanakan aktiviti pajakan solar dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus bagi tempoh sehingga 10 tahun.
Inisiatif berkenaan membuktikan visi kerajaan adalah selaras dengan prospek global bagi tenaga boleh diperbaharui kerana menurut analisis Deloitte bagi Prospek Industri Tenaga Boleh Diperbaharui 2020, industri tenaga boleh diperbaharui bakal memasuki fasa baharu pertumbuhan pada 2020.
Pendirian Yeo selari dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang turut mengetengahkan tenaga boleh diperbaharui dan ekomoni hijau sebagai dua daripada 15 cadangan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama.
WKB2030 turut menekankan kepada ekonomi hijau khususnya dalam menjamin pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, teknologi adaptasi iklim dan pertanian organik selain pembentukan sebuah ekonomi kitaran yang mampu beroperasi tanpa sisa buangan.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]