Berita

Serba Dinamik, syarikat pemula niaga Borneo jalin usaha sama bimbing syarikat baharu

Oleh Thivyamalini Ramalu

KUALA LUMPUR, 30 Dis --  Serba Dinamik  Holdings Bhd menjangkakan jalinan usaha sama pertamanya dengan hab pemula niaga dari Sarawak, Startup Borneo, dapat dimulakan pada Februari tahun depan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata usaha sama itu bermatlamat mengubah minda dalam kalangan usahawan muda untuk menceburi aktiviti perniagaan, selain menyumbang kepada pembangunan negara.

"Ini akan membantu mereka mengkomersilkan idea perniagaan dan mengembangkan lagi syarikat pemula niaga seperti yang terbukti di Lembah Silicon, termasuk Dell, Google, dan Facebook," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata Startup Borneo mempunyai 33 entiti berdaftar yang terdiri daripada inkubator, pemecut dan pemula niaga,  dengan program akan diterajui oleh  Serba Dinamik  IT Solutions Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh  Serba Dinamik .

"Buat masa ini, program itu akan dilancarkan di Sarawak, diikuti pendekatan yang sama di Johor Bahru dan negeri-negeri lain atas permintaan," katanya.

Mohd Abdul Karim berkata menerusi usaha sama itu,  Serba Dinamik  sebagai peneraju, akan menyediakan latihan, pendanaan awal dan keperluan lain yang diperlukan untuk membimbing syarikat-syarikat untuk meningkat ke peringkat seterusnya.

"Ini merupakan usaha sama sama-sama menang bagi  Serba Dinamik  untuk membantu syarikat lain dan pada masa yang sama memperluas rantaian dengan pihak berkuasa tempatan dan syarikat antarabangsa dalam kelompok terbabit.

"Inkubator, pemecut atau syarikat pemula niaga akan mendapat manfaat melalui program latihan dan penyediaan kewangan untuk memberikan mereka pendedahan kepada rantaian global," katanya.

Beliau berkata usaha sama itu juga akan memberi manfaat kepada agensi-agensi kerajaan kerana ia akan menjadi antara usaha membantu syarikat-syarikat teknologi tempatan yang semakin berkembang, manakala usaha sama di peringkat antarabangsa diunjur dapat memperluas rangkaian mereka di pasaran Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Mohd Abdul Karim berkata syarikat itu juga telah memulakan teknologi hologram dan bermatlamat mahu menjadi perintis dalam penyediaan teknologi.

Beliau berkata teknologi hologram merupakan teknologi yang mewujudkan item serupa dan serentak di lokasi berbeza, yang dapat membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

"Sebagai contoh, seorang pakar boleh melatih dan mendidik pelajarnya di tempat lain di dunia pada masa yang sama.

"Ahli politik atau pemimpin juga boleh berada di lokasi yang berbeza pada masa yang sama untuk bertemu dengan penyokong mereka secara lebih berkesan. Ini pasti akan meningkatkan produktiviti kerana teknologi ini tidak terganggu oleh emosi," katanya.

Beliau berkata teknologi hologram juga diintegrasikan dengan teknologi Revolusi Industri 4.0 yang lain seperti kecerdasan buatan untuk memproses data dan teknologi pengkomputeran awan bagi mengurus data.

 Serba Dinamik  ialah kumpulan perkhidmatan tenaga antarabangsa yang menyediakan penyelesaian kejuruteraan kepada industri minyak dan gas dan penjanaan kuasa dengan kemudahan operasi di Malaysia, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, dan United Kingdom.

-- BERNAMA

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]