Berita

Program Biodiesel B20 sektor pengangkutan dilancar secara berfasa tahun depan - Teresa Kok

PUTRAJAYA, 20 Dis -- Program Biodiesel B20 bagi sektor pengangkutan akan dilancarkan secara berfasa tahun depan yang bakal memberi rangsangan positif kepada harga minyak sawit mentah (MSM) yang dijangka mencecah RM3,000 setan metrik.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata program itu akan bermula di Langkawi, dan kemudiannya diikuti Labuan, Sarawak, Sabah dan seterusnya di Semenanjung Malaysia.

"Satu kajian awalan dan reka bentuk kejuruteraan bagi kerja naik taraf depoh pengadun juga telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM35 juta. Ia melibatkan sebanyak 35 depoh dan jangkaan siap adalah pada suku pertama tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan Kementerian Industri Utama, di sini, hari ini.

Kok berkata majlis pelancaran program Biodiesel B20 itu akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 20 Feb nanti.

Beliau berkata harga MSM yang kini menghampiri RM2,800 setan metrik, dijangka terus meningkat tahun depan berdasarkan trend positif di mana harga setan metrik pada 2018 adalah sekitar RM1,700 berbanding sekarang, serta permintaan tinggi ekoran pelaksanaan B20 dan juga usaha kerajaan untuk meneroka pasaran baharu bagi meningkatkan eksport.

Menurutnya, harga MSM yang meningkat bukan sahaja akan memanfaatkan ekonomi negara tetapi juga industri khususnya pekebun kecil.

"Hari Krismas dan Tahun Baru Cina akan melihat banyak negara mengimport kelapa sawit dari kita dan pelaksanaan program B20 akan menaikkan permintaan. Jika stok rendah maka harga akan naik," katanya.

Sementara itu, Kok berkata beliau akan mengadakan kunjungan ke Eropah awal tahun depan untuk bertemu dengan pesuruhjaya dan ahli parlimen baharu Kesatuan Eropah (EU) bagi menyampaikan usaha dan kejayaan Malaysia dalam mempromosi  industri sawit mampan.

"Kita mahu mempersembahkan kepada mereka apa yang Malaysia telah lakukan sejak dua tahun lepas. Eropah mahukan minyak sawit lestari dan kita melakukannya malahan dalam kalangan pekebun kecil apabila kerajaan membantu mereka mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Pemain industri minyak sawit kita menanam semula pokok hutan dan menyumbang kepada pemuliharaan hutan,” katanya. 

Mengetengahkan satu daripada usaha Malaysia, Kok berkata ses tambahan RM1 bagi setiap tan metrik minyak sawit yang dihasilkan bagi agenda alam sekitar kerajaan akan disumbangkan kepada industri yang akan digunakan bagi tujuan pemuliharaan hidupan liar dan inisiatif hijau, terutamanya penanaman semula pokok hutan. 

Beliau berharap EU akan menerima dan mengiktiraf agenda hijau Malaysia dan MSPO, dan seterusnya mengimport lebih banyak komoditi itu serta berhenti melemparkan tuduhan negatif terhadap minyak sawit.

Mengenai pensijilan MSPO, Kok berkata sasaran 100 peratus menjelang 31 Dis tidak tercapai kerana cabarannya adalah pekebun kecil sawit, namun mereka kini lebih mengambil tahu akan keperluan pensijilan serta menunjukkan minat berikutan promosi yang dilakukan pihak media.

Beliau berkata kesedaran pemain industri tentang pensijilan itu semakin meningkat di mana semasa beliau menerajui kementerian tersebut tahapnya hanya 17 peratus tetapi kini meningkat kepada 62.14 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia yang telah mendapat pensijilan MSPO sehingga 19 Dis lepas.

Kok berkata beliau yakin 70 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit negara disasar menerima pensijilan MSPO dapat dicapai menjelang Februari 2020.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]