Berita

Lima pencawang elektrik TNB ditutup ekoran banjir, jejaskan 103 rumah

JOHOR BAHRU, 15 Dis -- Lima pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (Bhd) terpaksa ditutup sejak petang tadi atas faktor keselamatan berikutan banjir yang melanda Johor sehingga menjejaskan sembilan daerah.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan, Bahagian Retail TNB Johor Datuk Baderul Sham Saad berkata kelima-lima pencawang elektrik itu yang mengalami kehilangan beban berjumlah 0.84 megawatt (MW), terletak di daerah Kota Tinggi iaitu di Batu 2 Jalan Mawai dan Mawai Lama.

“Penutupan kelima-lima pencawang itu menyebabkan gangguan elektrik kepada 103 akaun pengguna sejak 4.30 petang tadi. Kebanyakan pengguna yang terlibat kita percaya sudahpun berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

Selain itu, sebuah kawasan iaitu perkampungan orang asli di Kampung Labung Endau, dekat Mersing, turut dipotong bekalan elektrik sejak tengah hari, akibat banjir.

"Kita terpaksa memotong bekalan elektrik di situ sejak tengah hari tadi berikutan rumah di kawasan itu ditenggelami air.

"Jadi, kita potong bekalan atas faktor keselamatan yang melibatkan kira-kira 30 akaun pengguna. Penduduk kampung berkenaan juga telah dipindahkan di pusat pemindahan sementara," kata beliau.

Baderul berkata untuk memantau aset TNB, pihaknya telahpun membuka bilik gerakan banjir bagi mengetahui status setiap aset di kawasan terjejas banjir.

TNB kini mempunyai sebanyak 102 pencawang utama, 93 pencawang pembahagian utama dan 13,770 pencawang elektrik di seluruh negeri Johor.

"Kita juga sentiasa memantau bekalan elektrik di semua PPS yang dibuka bagi memastikan bekalan sentiasa ada," kata beliau sambil menambah sebanyak 42 mobile genset dan 55 portable genset  untuk kegunaan PPS sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Dalam masa yang sama, Baderul juga menasihati orang ramai supaya tidak mendekati sebarang pepasangan TNB demi keselamatan diri dan mengelakkan daripada renjatan elektrik.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai status bekalan elektrik di kawasan mereka, orang ramai boleh menghubungi TNB Careline 15454 atau Facebook TNB Careline jika ternampak pepasangan TNB teralih atau tumbang.

-- BERNAMA

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]