Berita

Prospek industri minyak dan gas mencabar - Petronas



KUALA LUMPUR, 13 Dis -- Prospek bagi industri minyak dan gas kekal mencabar dalam persekitaran pergolakan geopolitik, ketegangan perdagangan yang berpanjangan dan ekonomi global yang lembap menyebabkan permintaan terjejas, kata Naib Presiden bagi Perolehan Kumpulan Petronas Liza Mustapha.

“Landskap yang mencabar akan memerlukan Petronas dan semua rakan kongsinya untuk terus berhati-hati dalam menguruskan kos, melaksanakan usaha untuk mengekalkan aktiviti luar pesisir dan meneruskan penyelesaian inovatif untuk membuka nilai dalam rantaian bekalan kami,” katanya dalam laporan Prospek Aktiviti Petronas (PAO) 2020-2022 hari ini.

Beliau berkata walaupun menguruskan kos mungkin mempunyai hadnya, Petronas perlu memberi tumpuan kepada usaha, antara lain, kemajuan teknologi dan pendigitalan proses yang akan memberi manfaat yang lebih besar dalam tempoh yang panjang dalam meningkatkan daya saing dan daya tahan untuk mengatasi sebarang rintangan yang datang. 

Petronas menjangka prospek yang kukuh untuk penggerudian, sokongan pengeluaran, kapal marin dan aktiviti tidak beroperasi.

“Prospek yang kukuh boleh dijangka untuk projek-projek yang tidak beroperasi berikutan 44 peratus daripada kemudahan di perairan Malaysia beroperasi melebihi jangka hayat,” menurut PAO.

Peluang pelaburan yang banyak di perairan Malaysia dengan portfolio projek yang akan datang pada masa depan menggambarkan prospek yang baik, katanya.

Bagi hiliran, terdapat prospek yang positif untuk pemulihan dan aktiviti penyelenggaraan.

Pada tahun ini, katanya Petronas berkongsi kontrak meliputi spektrum pekerjaan yang lebih luas dengan nilai yang besar untuk penggiat yang besar serta perusahaan kecil dan sederhana.

Susulan kebanyakan daripada kontrak ini untuk tender semula dalam tempoh 2020-2022, ini merupakan masa yang sesuai untuk penggiat mengatur strategi mengenai sumber, penawaran teknologi baharu dan perkongsian strategik.

Mengenai perkembangan lain, PAO berkata harga minyak pada 2019 turun naik daripada paras terendah harian sebanyak US$53 setong (US$1 = RM4.15) kepada paras tertinggi sebanyak US$75 setong (sehingga November 2019) menghasilkan purata sebanyak US$64 setong berbanding purata sebanyak US$71 setong pada 2018.

Katanya bekalan yang tinggi daripada pengeluar bukan OPEC (Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum - OPEC), kebanyakannya dari Amerika Syarikat (AS), menyebabkan inventori minyak meningkat.

AS, pengeluar minyak mentah terbesar pada masa ini, menyasarkan untuk menjadi pengeksport tenaga bersih menjelang 2020.

Selain itu, terdapat projek lain ditingkatkan di Kanada, Brazil, Guyana dan Norway.

Agensi Tenaga Antarabangsa, dalam laporan November 2019, menunjukkan pengeluaran bukan OPEC dijangka terus meningkat, menambah 2.3 juta tong sehari daripada bekalan minyak pada 2020.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]