Berita

Minyak mentah Brent dijangka meningkat kepada US$68 setong pada akhir 2020 - OCBC



KUALA LUMPUR, 11 Dis  -- Harga minyak mentah penanda aras global, Brent dijangka naik kepada US$68 (US$1=RM4.16) setong menjelang akhir 2020 berbanding US$64 setong hari ini berikutan momentum pertumbuhan global yang meningkat.

Ahli Ekonomi OCBC Bank Howie Lee berkata perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka masih menjadi pemacu utama kepada harga pada tahun depan, menunjukkan harga akan terus tidak menentu.

“Trajektori meningkat harga minyak tidak akan lancar pada tahun depan. Pilihan raya Presiden AS dijangka menjana lebih banyak turun naik daripada kempen Presiden Donald Trump.

“Kebimbangan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan ahli-ahli bukan OPEC mengenai bekalan bagi 2020 bermakna elemen risiko bekalan ditambah dalam pasaran menjelang tahun baru,” katanya dalam laporan Prospek Komoditi 2020 bank itu hari ini.

Beliau berkata gelombang pergolakan politik di seluruh dunia pada 2019 mungkin memberi kesan penularan apabila bantahan bukan sekular boleh merebak di Timur Tengah dan Amerika Latin.

Sementara itu, mengulas mengenai minyak sawit, Lee berkata harga dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat tetapi pembetulan dijangka bermula dari suku kedua dan seterusnya dan akhirnya harga akan berada pada RM2,600 satu tan pada tahun depan.

Beliau berkata faktor-faktor, iaitu wabak demam selesema babi Afrika di China, pelaksanaan biodiesel B30 di Indonesia mulai Januari 2020 dan pengeluaran rendah menyebabkan harga sawit ditutup hampir RM3,000 satu tan.

“Pasaran biasanya memerlukan tempoh enam bulan untuk membetulkan ketidakseimbangan penawaran-permintaan dan ini menunjukkan harga dijangka terus meningkat hingga suku pertama 2020, sebelum membetulkan dari suku kedua 2020 dan seterusnya.

"Perjanjian perdagangan dan selesema babi di China dijangka rendah untuk sawit,” katanya.

Sementara itu, bagi prospek kacang soya, harga dijangka naik kepada US$9.50 satu busyel berbanding US$8.99 satu busyel hari ini berikutan inventori kacang di China semakin rendah berikutan permintaan yang rendah disebabkan selesema babi dan bekalan yang berkurangan.

Laporan itu turut mengunjurkan emas dijangka terus diniagakan antara US$1,450 satu auns dan US$1,500 satu auns pada suku pertama 2020.

Lee berkata tarikan emas semakin berkurangan berikutan hasil Perbendaharaan yang meningkat semula dan ekonomi global yang stabil serta pulangan hasil Perbendaharaan untuk tempoh 10 tahun melebihi 1.9 peratus mempunyai potensi menyebabkan harga emas di bawah US$1,450 satu auns.

“Tekanan jualan dijangka meningkat dari suku kedua 2020 dan seterusnya, dengan harga mempunyai potensi merosot kepada US$1,400 satu auns,” katanya.

Lee berkata permintaan fizikal China dan India terhadap emas dijangka meningkat pada 2020 berikutan mata wang yang mengukuh, tetapi dijangka menyediakan perlindungan yang terhad kepada sebarang potensi jualan.

-- BERNAMA

 

 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]