Berita

Kadar semasa tarif elektrik pengguna domestik kekal



KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Kadar efektif tarif elektrik di Semenanjung Malaysia  bagi pengguna domestik akan dikekalkan manakala kadar surcaj pengguna komersial dan industri diturunkan bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun, 2020.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata Kabinet telah bersetuju untuk menetapkan kadar efektif tarif elektrik tersebut berdasarkan mekanisme ‘Incentive Based Regulations’ (IBR) (Kawal Selia Berasaskan Insentif).

“Sebanyak RM62.95 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan digunakan untuk menampung surcaj ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) supaya tidak ada surcaj akan dikenakan kepada pengguna domestik.

“Oleh itu, kadar efektif tarif elektrik akan dikekalkan, tidak akan meningkat pada kadar efektif asas iaitu 39.45 sen per kilowatt jam (kWj), ini adalah 18 bulan berterusan tiada peningkatan melalui surcaj dikenakan kepada pengguna elektrik domestik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan status perlaksanaan mekanisme IBR dalam menentukan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia setiap enam bulan serta sama ada tarif akan meningkat pada Januari 2020.

Menurut Yeo, sebanyak 7.4 juta pengguna domestik akan diberikan pengecualian surcaj tarif elektrik manakala pengguna bukan domestik akan menikmati pengurangan surcaj sebanyak 0.55 sen per kilowatt jam (kWj) daripada RM2.55 per kilowatt jam (kWj).

Bagi pengguna komersial dan industri, katanya, penurunan kadar surcaj ini adalah disebabkan penurunan kos bahan api untuk tempoh 6 bulan ini.

Kerajaan sejak 2015 telah melaksanakan penentuan tarif elektrik berdasarkan IBR dan tarif asas elektrik disemak setiap tiga tahun di mana tempoh regulatori pertama (RP1) IBR bermula 2015 hingga 2017, manakala tempoh regulatori kedua (RP2) IBR bermula 2018 hingga 2020. 

“Melalui mekanisme ini, tarif asas adalah ditentukan dengan andaian harga purata bahan api arang batu dan gas dalam tempoh regulatori tersebut.

“Sebarang perbezaan kos sebenar dengan harga andaian dalam penetapan tarif asas akan diselaraskan setiap enam bulan di bawah mekanisme ICPT, sama ada dalam bentuk surcaj atau rebat, bergantung kepada kos bahan api dan kos penjanaan lain dalam tempoh tersebut,” katanya.

Yeo menjelaskan, kadar efektif tarif elektrik adalah kadar asas tambah surcaj ataupun kadar asas tolak rebat dan penyelarasan kos bahan api ICPT untuk tempoh enam bulan melalui surcaj atau rebat akan dilakukan pada enam bulan seterusnya.

Bagi kadar surcaj atau rebat ICPT untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 adalah ditentukan oleh harga bahan api Julai hingga Disember 2019.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]