Berita

Orang ramai dinasihat waspada bahaya elektrik ketika banjir



PUTRAJAYA, 3 Dis -- Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap bahaya elektrik ketika banjir dan mengambil langkah-langkah persediaan bagi mencegah sebarang kemalangan berpunca dari elektrik.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini menyatakan sebelum banjir, pengguna perlu mematikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan mengubah suis utama kepada kedudukan ‘OFF’ serta memastikan semua suis turut dimatikan dan palam kuasa peralatan elektrik ditanggalkan.

"Simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir,” menurut ST.

Semasa banjir, seberapa boleh elakkan kawasan yang mempunyai talian elektrik terutamanya pada waktu malam di mana tahap penglihatan adalah kurang baik kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian itu mudah disentuh.

Selain itu, jauhkan diri dari lokasi terdapat talian elektrik yang jatuh atau putus bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih aktif.

"Jangan pegang tiang elektrik atau dawai umbang semasa banjir atau hujan. Dilarang menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang sebagai tiang ampaian," katanya.

Menurut suruhanjaya itu, apabila berada di luar rumah, jangan hampiri pepasangan elektrik seperti pencawang atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air. 

"Jangan mengalih atau membaiki tiang elektrik tumbang, talian elektrik putus atau jatuh ke tanah, sebaliknya laporkan segera kepada pihak pembekal elektrik untuk tindakan pembaikan," katanya.

Selepas banjir, Suruhanjaya Tenaga menasihatkan orang ramai berhati-hati apabila berada di kawasan yang terdapat kelengkapan dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air kerana berpotensi mendatangkan bahaya. 

"Ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitarannya dan boleh menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa," menurut kenyataan ST.

Selain itu, pastikan semua kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air diperiksa dan berada dalam keadaan kering dan baik sebelum digunakan dan elak menggunakan kelengkapan yang diragui keselamatannya.

Sebelum ‘ON’ suis utama, pengguna perlu memeriksa semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik dan ia hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan suruhanjaya itu.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan set janakuasa bergerak telah diletakkan di lima lokasi berisiko tinggi banjir di Kelantan dan Terengganu jika bekalan elektrik tidak dapat dibekalkan menerusi talian kabel semasa musim tengkujuh. ​

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata empat set janakuasa bergerak 1,000 kVA (kilovolt-ampere) telah ditempatkan di Lemal, Pasir Mas; Lundang, Kota Bharu; Tumpat dan Kuala Krai di Kelantan manakala satu di Kemaman, Terengganu.

“Kelima-lima set janakuasa bergerak itu telah ditempatkan awal bagi mengelakkan kemungkinan lokasi berkenaan tidak dapat diakses semasa banjir.

“Cuti untuk lebih 700 warga kerja TNB di Kelantan dan Terengganu turut dibekukan. Pekerja yang terlibat sebahagian besarnya warga kerja yang diberi tanggungjawab memastikan pepasangan TNB berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Sekiranya orang ramai mendapati terdapat sebarang kejanggalan kepada pepasangan TNB seperti tiang tumbang akibat banjir, mereka boleh menghubungi TNB CareLine 15454 atau di Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut, jelas kenyataan itu.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]