Berita

FLNG Ketiga Petronas akan dibina jika wujud permintaan



GEOJE (Korea Selatan), 2 Dis -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), yang merupakan satu-satunya syarikat yang memiliki dan mengendalikan dua kemudahan terapung gas asli cecair  (LNG) tidak menolak untuk menempah kapal yang ketiga jika wujud permintaan.

Sekarang ini, Petronas mempunyai dua unit FLNG, masing-masing dinamakan PFLNG Satu dan PFLNG Dua. 

"Jika terdapat takungan dengan jumlah rizab yang banyak termasuk komposisi gas yang mantap serta berdaya maju secara ekonomi, ia akan membuka satu lagi laluan bagi kemudahan yang serupa," kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Tenaga Baharu, Adnan Zainal Abidin.

Bagaimanapun, ia tidak semestinya dibuat untuk kegunaan luar pesisir sahaja, katanya dalam satu temubual dengan Bernama serta TV3 di sini.

"Kemudahan FLNG juga boleh dibina berhampiran dengan pantai (bagi mengekstrak LNG dari takungan pantai) terutama di kawasan negara-negara yang sensitif politik. Jika terpaksa dialihkan, anda boleh mengerakkan fasiliti tersebut," katanya.

Fasiliti berkenaan, sebenarnya menjadi faktor penentu dalam perniagaan LNG memandangkan semakin banyak syarikat yang mula menyedari kelebihan kapal-kapal FLNG ini.

"Oleh itu, kami berharap ia akan membuka peluang baharu untuk kami, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara," katanya dengan menambah Petronas sedang meneroka pasaran di Mexico, Brazil dan Afrika Barat

"Apabila kami menemukan gas, kami  mempunyai pilihan untuk mengewangkannya. Jadi, ini memberikan kami satu kelebihan bagi kekal relevan dalam pasaran LNG," katanya. 

Lebih penting lagi, kesan alam sekitar daripada kapal-kapal FLNG adalah lebih rendah berbanding dengan kemudahan pantai. 

"Kelestarian adalah antara faktor utama apabila Petronas memutuskan untuk memiliki kemudahan FLNG,"  kata Naib Presiden Perniagaan Tenaga Baharu, Gas dan Aset LNG, Zakaria Kasah.

Menurut beliau, pembinaan kemudahan tersebut juga membantu Petronas mengasah kemampuan dalam pengurusan projek.

Oleh itu, jika wujud keperluan bagi pembinaan kapal ketiga, ia akan dibuat untuk lebih berdaya saing daripada PFLNG Dua, kata Ketua Pegawai Eksekutif PFLNG, Abang Yusuf Abang Puteh. 

"Kami mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam perniagaan LNG dan terlibat dalam rekabentuk, pembinaan serta operasi FLNG. Melalui MISC, kami juga mempunyai kepakaran dalam kapal pengangkut LNG. 

"Kemudahan terapung ini adalah kombinasi kedua-duanya, yang secara literal seperti meletakkan loji LNG di atas badan kapal. Kami mempunyai pengalaman yang luas, jadi kami tahu selok belok dan oleh itu, FLNG ketiga akan direka untuk menjadi lebih berdaya saing daripada dua buah sebelum ini," katanya.

Adnan menambah : "Petronas berada dalam kedudukan yang baik untuk terus yakin dan menyahut cabaran. Keyakinan ini melahirkan PFLNG Satu". 

Jika ada jaminan, kami menyanggupi cabaran seterusnya," kata Adnan.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]