Berita

POIC Lahad Datu tarik pelaburan RM300 juta dari Jepun

KOTA KINABALU, 1 Dis -- Misi perdagangan Sabah ke Jepun yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencatatkan kejayaan selepas dua firma tenaga melahirkan minat untuk melabur dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui di negeri ini, terutamanya biojisim.

Kedua-dua syarikat itu dijangka melabur sejumlah hampir RM300 juta dalam Kluster Industri Minyak Sawit Lahad Datu (POIC) untuk jangka masa panjang.

Salah satu syarikat akan memeterai Perjanjian Pajakan Tanah di Tokyo pada Selasa depan, manakala perjanjian yang sama akan dibuat dengan F Bit Communications Corporation di Kota Kinabalu pada pertengahan Disember ini.

F Bit Communications Corporation, yang mengendalikan tiga loji biojisim berkapasiti 10 megawatt, merupakan salah satu daripada 140 syarikat Jepun yang menghadiri seminar perniagaan di sini pada Jumaat lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif POIC Lahad Datu Datuk Dr Pang Teck Wai berkata dalam satu kenyataan, ini merupakan satu keputusan yang agak pantas memandangkan pertemuan dengan syarikat berkenaan baru sahaja berlangsung dalam beberapa bulan lepas.

"Mereka telah menunjukkan minat yang tinggi dan saya percaya kami akan membentuk perjanjian bagi membolehkan mereka beroperasi di POIC," katanya.

Sabah berupaya untuk menghasilkan sebanyak tiga juta tan tandan buah kosong dan tempurung isirong sawit pada setiap tahun, penyebab utama yang menarik minat kedua-dua firma tenaga itu, selain daripada lokasi pelabuhan POIC yang sangat strategik.

Ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah dan membuka jalan bagi pengeluaran produk bernilai tinggi seperti karbon.

Mohd Shafie sedang membuat lawatan kerja selama tujuh hari ke Jepun bermula Jumaat lepas, dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah.

Kelebihan Sabah sebagai pengeluar gas asli dan minyak mentah dijangka memberi kelebihan kepada syarikat milik kerajaan negeri, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dalam menarik pelabur Jepun.

SEC telah mengadakan perbincangan dengan tiga syarikat Jepun di Kobe untuk bekerjasama dalam bidang gas dan tenaga membabitkan potensi pelaburan berjuta-juta ringgit.

Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Harun Ismail, yang turut menyertai misi perdagangan itu, berkata perbadanan tersebut akan mencari lebih banyak peluang pelaburan di Nagoya dan Tokyo bagi pelaburan dalam gas asli serta tenaga di Sabah.

"Mereka boleh membangunkan loji di Sabah dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah," katanya.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa dasar bagi menyediakan akses yang lebih mudah kepada para pelabur untuk bertapak ke Sabah seperti yang disokong oleh Mohd Shafie, merupakan platform terbaik ke arah memupuk industri gas asli dan tenaga di negeri ini.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]