Berita

Petronas teraju perniagaan LNG dengan PFLNG Dua

Photo: www.rivieramm.com

Daripada M. Saraswathi

GEOJE (Korea Selatan), 27 Nov  -- Syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menerajui perniagaan gas asli cecair (LNG) global dengan kemudahan PFLNG Duanya yang bakal beroperasi, menjadikannya satu-satunya pemain dalam sektor tersebut yang memiliki dan mengoperasikan dua kemudahan LNG terapung. 

PFLNG Satu beroperasi sejak 2017. 

Pencapaian ini menunjukkan kedudukan kukuh syarikat itu dalam industri LNG, merintis penyelesaian inovatif bagi memastikan bekalan LNG yang terjamin untuk menampung peningkatan permintaan terhadap tenaga lebih bersih. 

“Pembangunan PFLNG Dua adalah langkah ke arah menyediakan sumber bekalan baharu tenaga bersih serta merealisasikan aspirasi bersama kami bagi masa depan yang rendah karbon,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada majlis penamaan kapal itu, di sini, hari ini. 

PFLNG Dua adalah penyelesaian utama oleh Petronas untuk menjana wang daripada lapangan gas laut dalam terkawal dengan cara yang selamat, ekonomi dan mampan, katanya. 

Kemudahan LNG terapung itu adalah untuk mengekstrak gas daripada simpanan gas laut dalam dengan kedalaman sehingga 1,500 meter. 

“Sebagai pemain tenaga bersepadu, Petronas melabur sepenuhnya untuk memanfaatkan potensi gas asli menerusi penyelesaian teknologi dan inovatif sejajar dengan Penyata Tujuan kami untuk menjadi rakan tenaga dan penyelesaian progresif meningkatkan kehidupan bagi masa depan yang mampan,” katanya.

PFLNG Dua berjaya disiapkan oleh Petronas bersama dengan rakan kongsinya, JGC Corporation dan Samsung Heavy Industries, konsortium yang bertanggungjawab bagi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian kemudahan LNG terapung itu. 

Pembinaan kemudahan LNG terapung kedua Petronas, yang bermula pada 2015, berjalan lancar mengikut jadual untuk disiapkan dan belayar pada Februari 2020. 

PFLNG Dua akan ditambat di lapangan gas Rotan pada kedalaman air 1,300 meter, terletak 140 kilometer di luar pantai Kota Kinabalu, Sabah, dengan kapasiti menghasilkan 1.5 juta tan metrik LNG setahun.

Majlis penamaan kapal itu yang diadakan di Samsung Heavy Industries Shipyard di Pulau Geoje, Korea Selatan, dirasmikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai Lady Sponsor bagi PFLNG Dua.

Upacara itu berlangsung dengan majlis permeteraian plak peringatan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kapal PFLNG Dua diikuti dengan lawatan ke dalam kemudahan LNG terapung sepanjang 393 meter itu.

Turut hadir ialah Pengarah Wakil dan Presiden JGC Corporation Tetsuya Muramoto dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Samsung Heavy Industries Joon Ou Nam.

Muramoto berkata: “Sebagai ketua konsortium dan presiden JGC, syarikat kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan LNG utama, kami komited untuk menyediakan kepada Petronas permulaan PFLNG Dua yang lancar dan selamat, yang akan menjalankan operasi komersialnya di luar pantai Sabah sebaik sahaja siap.” 

“Menjadi harapan kami dengan kejayaan perintis ini, kami akan terus menyumbang kepada visi Petronas untuk menyediakan tenaga lebih bersih bagi manfaat Malaysia dan orang lain di seluruh dunia,”  

Petronas merupakan pengeluar LNG global bersepadu dengan pengalaman lebih 35 tahun dan lebih 10,000 kargo LNG dihantar dengan selamat daripada portfolio kemudahan globalnya di Malaysia, Australia dan Mesir, dan tidak lama lagi di Kanada.

PFLNG Dua akan menyokong portfolio LNG global Petronas dan meningkatkan reputasinya sebagai pembekal LNG pilihan dan boleh dipercayai.

Pencapaian ini menandakan kedudukan peneraju Petronas dan komitmennya untuk mengukuhkan jaminan bekalan LNG global bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga lebih bersih. 

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]