Berita

Keuntungan bersih suku ketiga Petronas susut kepada RM7.42 bilion



KUALA LUMPUR, 26 Nov -- Keuntungan bersih Petroliam Nasional Bhd (Petronas) merosot hampir separuh kepada RM7.42 bilion dalam suku ketiga berakhir 30 Sept, 2019 daripada RM14.34 bilion pada tempoh sama tahun lepas.

Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata pendapatan lebih rendah itu disebabkan terutamanya hasil rendah dan rosot nilai bersih terhadap aset, yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk dan pengeluaran bersih rendah serta perbelanjaan cukai yang lebih rendah.

Hasil dalam suku ketiga 2019 merosot kepada RM55.11 bilion daripada RM63.91 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan purata harga direalisasi lebih rendah bagi produk utama dan penurunan besar kuantiti jualan bagi minyak mentah dan kondensat, katanya.

"Bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan penurunan ringgit berbanding kadar tukaran dolar US,” kata syarikat minyak nasional itu. 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM18.8 bilion, sejajar dengan keuntungan sebelum cukai rendah sebanyak RM47.13 bilion (suku ketiga 2018: RM56.31 bilion).

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, keuntungan bersih kumpulan itu berjumlah RM36.36 bilion, turun 11 peratus daripada RM40.99 bilion dalam tempoh sama pada 2018, terutamanya disebabkan oleh hasil rendah dan rosot nilai bersih yang sebahagian besarnya diambil kira dalam segmen eksplorasi dan pengeluarannya.

"Segmen itu didorong oleh prospek harga lebih konservatif, dan sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan cukai rendah," kata syarikat itu sambil menambah bahawa EBITDA merosot tujuh peratus kepada RM73.5 bilion bagi tempoh kumulatif berakhir pada 30 Sept, 2019.

Mengenai pelaburan modal, Petronas berkata ia memperuntukkan RM28.9 bilion dari Januari hingga September 2019, manakala bagi suku ketiga 2019, pelaburan modal berjumlah RM12.0 bilion, kebanyakannya disumbang daripada projek huluan.

"Jumlah aset berkurangan kepada RM621.4 bilion pada 30 Sept, 2019 berbanding RM636.3 bilion pada 31 Dis, 2018," kata syarikat itu.

Mengenai prospek masa depan, Petronas menjangkakan industri tersebut akan terus mencabar disebabkan oleh kelembapan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan isu perdagangan global yang berterusan, mengakibatkan permintaan terjejas.

"Ahli lembaga menjangkakan keseluruhan prestasi kumpulan akan dipengaruhi oleh faktor-faktor ini," kata syarikat itu.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata meskipun keadaan tidak menentu pasaran yang berterusan prestasi Petronas pada suku ketiga 2019 menunjukkan daya tahan dan keupayaannya sebagai pemain tenaga bersepadu dalam mengekalkan operasi yang kukuh dan terjamin sepanjang tempoh tersebut.

"Kami akan terus memberi tumpuan untuk memacu kecekapan operasi dan kecemerlangan komersil dalam seluruh kumpulan bagi melaksanakan strategi serampang tiga mata kami.

"Walaupun prestasi kami akan terus dipengaruhi oleh persekitaran yang mencabar, kedudukan kewangan Petronas dijangka terus kukuh," katanya. 

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]