Berita

Tenaga pakar Jabatan Kimia Malaysia antara terbaik Asia



KUALA TERENGGANU, 25 Nov -- Kepakaran ahli forensik di Jabatan Kimia Malaysia antara terbaik di Asia dan hampir setanding dengan negara maju di dunia, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata terdapat kira-kira 300 pakar forensik yang berkhidmat di Jabatan Kimia Malaysia termasuk di ibu pejabat, Petaling Jaya dan 12 cawangannya di seluruh negara.

Beliau berkata ia merangkumi kepakaran dalam semua bidang seperti forensik DNA, narkotik, alam sekitar, toksikologi dan kriminalistik yang memainkan peranan sangat penting walaupun bertugas di belakang tabir.

"Jabatan Kimia Malaysia mempunyai tenaga pakar hebat dan boleh dikatakan antara perintis di negara Asia. Begitu juga daripada segi peralatan, kita mempunyai makmal serta peralatan berteknologi terkini yang boleh melakukan semua kerja forensik tanpa perlu merujuk kepada negara luar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Jabatan Kimia Malaysia Terengganu di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Isnaraissah Munirah berkata pada masa ini Jabatan Kimia Malaysia mengendalikan kira-kira 20,000 sampel sehari termasuk bagi kes dadah, jenayah, pencemaran alam sekitar, makanan dan sebagainya.

Beliau berkata walaupun jumlah itu agak besar, faktor kecekapan tenaga pakar dan sokongan daripada pegawai pengurusan profesional membolehkan analisis sampel dapat dijalankan dengan cepat.

"Berdasarkan laporan pencapaian piagam pelanggan Jabatan Kimia Malaysia untuk tempoh Januari hingga September tahun ini, purata peratus keseluruhan prestasi makmal-makmal negeri dan cawangan telah mencapai 96.6 peratus.

"Ini adalah satu pencapaian yang cemerlang dan harap dapat ditingkatkan kepada 100 peratus pada tahun hadapan," katanya.

Mengenai bangunan baharu Jabatan Kimia Terengganu, Isnaraissah Munirah berkata selain makmal narkotik, alam sekitar, toksikologi dan kriminalistik ia juga akan dilengkapi dengan dua lagi makmal baharu iaitu Pusat Analisis DNA Forensik dan Pusat Analisis Air yang akan menjadi rujukan bagi negeri-negeri di Zon Timur.

Beliau berkata dengan penubuhan makmal baharu ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguat kuasa yang lain di Terengganu, Pahang dan Kelantan tidak perlu lagi menghantar sampel bagi kes-kes jenayah atau sebagainya ke ibu pejabat seperti sebelum ini, sekali gus mengurangkan beban kerja kakitangan yang bertugas di Petaling Jaya.

"Pembukaan Pusat Analisis DNA Forensik Zon Timur Semenanjung (di Terengganu) adalah yang terakhir dan melengkapkan perkhidmatan DNA Forensik Jabatan Kimia Malaysia di seluruh zon dalam negara.

"Bagi Pusat Analisis Air pula, ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada ibu pejabat dan boleh menjadi pusat gantian jika berlaku kerosakan peralatan di ibu pejabat," katanya.

Katanya lagi, kedua-dua makmal baharu itu dijangka dapat beroperasi pada awal tahun hadapan selepas kerja-kerja memasukkan beberapa peralatan serta kelengkapan selesai dijalankan.

-- BERNAMA

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]