Berita

Petronas tingkatkan usaha perkukuh kedudukan di India



KUALA LUMPUR, 22 Nov -- Syarikat minyak nasional Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) meningkatkan usaha untuk mengukuhkan kedudukan perniagaannya di India dengan menyediakan penyelesaian yang lebih inovatif dan bersesuaian, yang menambah nilai kepada aspirasi tenaga negara.

Dengan kerjasama strategik lebih daripada 20 tahun dalam enam segmen perniagaan di India, Petronas terus menyokong aspirasi negara untuk berkembang secara mampan dengan mengukuhkan kepakaran dan kemajuan teknologinya.

“Petronas berada di landasan untuk membina ekosistem perniagaan yang berkesan di India untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami dalam pasaran penting ini,” kata Pengerusi Petronas Energy (India) Private Limited Rizan Ismail dalam satu kenyataan semasa lawatan rasmi tahunan untuk bertemu pelanggan dan rakan kongsi di Mumbai, baru-baru ini.

Dari tahun ke tahun, India telah berkembang dengan pesat, didorong oleh perbandaran yang pesat dan peningkatan kelas pertengahan, katanya.

Menjelang 2030, India akan menjadi pusat kepada tujuh bandar raya mega dan menyaksikan permintaan tinggi terhadap tenaga, kuasa dan barangan pengguna.

Dalam dua dekad lepas, Petronas telah mencatat kemajuan yang ketara dalam meningkatkan portfolionya di India dalam seluruh rantaian nilai, meliputi dagangan minyak mentah, gas petroleum cecair (LPG), petrokimia, minyak pelincir, gas asli cecair (LNG), dan baru-baru ini, tenaga boleh baharu.

Susulan penubuhan Unit Perniagaan Tenaga Baharu, Petronas menceburi perniagaan tenaga boleh baharu pada April 2019, dengan pengambilalihan Amplus Energy Solutions Pte Ltd (Amplus) – pemaju dan penyedia penyelesaian tenaga terkemuka yang memberikan perkhidmatan kepada pelanggan utama di India, dengan kapasiti terkumpul sebanyak 600MW yang sedang beroperasi dan sedang dibangunkan. 

“Pengambilalihan itu sejajar dengan aspirasi kami untuk menyediakan pilihan tenaga bersih yang meningkatkan kehidupan rakyat. Dalam jangka masa panjang, kami mahu dikenali di India sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan penyedia utama kepada penyelesaian yang bersih, menjimatkan kos dan mampan,” kata Rizan.

Sementara itu, perniagaan minyak pelincir Petronas di India mencatatkan kemajuan berterusan dengan pembukaan operasi komersial kilang bagi kilang adunan minyak pelincir syarikat itu di Patalganga, Maharashtra.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 97,000 juta tan setahun (mtpa), ia membolehkan Petronas mencapai pengembangan rangkaian pengagihannya kepada 35,000 rangkaian daripada 12,000 rangkaian pada masa ini di seluruh negara menjelang 2021.

Selain itu, perniagaan LNG Petronas di negara itu dijangka terus berkembang ketika ia meninjau potensi peluang dalam rantaian nilai gas, mencerminkan komitmen syarikat itu untuk menyokong aspirasi kerajaan India untuk mencapai gas asli sebanyak 15 peratus daripada jumlah campuran tenaga negara itu menjelang 2030, dengan mewujudkan bersama pasaran gas.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]