LABUAN, 22 Nov -- Syarikat tempatan, Thunder Cranes Group, memperoleh kontrak bernilai berjuta-juta dolar daripada Chevron Corporation untuk menyediakan perkhidmatan mengangkat bagi kerja-kerja pemasangan dan peninggalan mereka yang melibatkan kira-kira 3000 telaga di Teluk Thailand.
Kontrak tiga tahun dengan Chevron itu melibatkan Thunder Cranes menambah 3 lagi kren baharu TC90XL seberat 90 tan bagi kapal-kapalnya, menjadikan ia pengendali terbesar kren sewaan luar pantai mudah alih di rantau Asia Pasifik.
Thunder Cranes yang beribu pejabat di sini, membekalkan kren bagi memudahkan kerja-kerja projek minyak dan gas luar pantai di pelbagai negara semenjak dua dekad lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Chris Poheng dalam satu kenyataan berkata Thailand menjadi pusat tumpuan Thunder Cranes sejak ia memasuki pasaran tersebut sedekad lalu dan pemberian kontrak terbaharu itu membuktikan reputasi yang berjaya dibinanya di rantau ini.
“Menyediakan perkhidmatan yang sangat khusus adalah satu cabaran untuk memasarkan perkhidmatan Thunder Cranes ke peringkat dunia, Tetapi sebaik sahaja kami diberikan peluang untuk menyediakan penyelesaian dan mempamerkan keupayaan kami, pelanggan sering mendapati Thunder Cranes amat bernilai kepada projek mereka,” katanya.
Thunder Cranes memperoleh perniagaan di luar Malaysia sejak 1999, pertamanya dengan Brunei Shell, diikuti Devon Energy di China dan Dubai Petroleum di UAE. Ia kemudiannya membuka kemudahan di Thailand pada 2010 untuk menjadi pusat tumpuan kedua bagi operasi serantau di luar dari Malaysia.
“Dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang, kami akan membida beberapa kontrak perkhidmatan mengangkat utama di UAE, Arab Saudi, India, Vietnam dan Indonesia. Kami berbangga menjadi satu daripada antara banyak syarikat Malaysia yang berupaya bersaing dalam arena global,” katanya.
Poheng berkata ia adalah kombinasi inovasi unik dalam teknologi krennya, serta pengalaman dan kakitangan terlatihnya yang memberikan kelebihan kepada Thunder Cranes, menjadikannya pemain kompetitif di peringkat dunia.
"Menyediakan kecekapan operasi bagi pelanggan kami bermakna terus membangunkan kedua-dua teknologi kren dan modal insan kami.
“Selaras dengan falsafah ini, 2019 akan menyaksikan pelancaran kren mudah alih generasi ke-5 Thunder Cranes - kren kekaki TC90-05XL.
“TC90XL menggabungkan pengalaman 25 tahun yang diterapkan ke dalam kren mudah alih yang boleh menampung cabaran aktiviti pengangkatan luar pantai bagi tempoh 25 tahun akan datang,” kata Poheng.
Bagaimanapun, beliau berkata, sama pentingnya seperti teknologi, penggunaan kren mudah alih luar pantai memerlukan kakitangan yang sangat terlatih dan berpengalaman.
“Untuk menjadi syarikat global, pelanggan kita akan mengharapkan standard tinggi yang sama di mana juga kami pergi.
“Kami melakukan ini dengan melatih pekerja kami dan mewujudkan budaya tempat kerja yang positif dengan tujuan untuk mengekalkan kakitangan yang bagus. Mengekalkan kakitangan bermakna kakitangan yang lebih berpengalaman, berpengetahuan dan selamat, dan seterusnya produktiviti yang dihargai kakitangan kami.
“Kami berbangga melihat Malaysia memiliki antara pekerja paling berkemampuan dalam industri, termasuk jurutera yang telah terbukti boleh bekerja di mana-mana sahaja dan bagi sesiapa sahaja di dunia,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]