Oleh Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 22 Nov -- Industri minyak sawit melihat 2020 sebagai tahun yang sangat bermakna ekoran pelbagai tumpuan oleh kerajaan, agensi dan pihak berkepentingan ke atas kemampanan minyak sawit, sudah mula membuahkan hasil.
Pakar sektor perladangan melihat langkah yang diambil oleh industri ke arah kemampanan, sebagai tindakan positif walaupun banyak cabaran dihadapi, termasuk proses pematuhan dalam kalangan beberapa pekebun kecil dan syarikat.
“Banyak dasar yang boleh dimanfaatkan oleh industri, termasuk program pinjaman dan sebagainya, namun saya berharap semua aspek ke matlamat itu dapat disampaikan dengan baik," kata Pemilik dan Pengasas Bersama Analytics Palm Oil yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa kepada BERNAMA di luar acara Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PIPOC) 2019.
Kongres tiga hari itu bertepatan dengan kedudukan pasaran minyak sawit mentah (MSM) semasa, katanya, sambil menambah bahawa harga dijangka mencapai paras RM3,000 setan pada tahun depan berikutan pengeluaran yang lebih rendah.
"Syarikat perladangan akan menikmati pendapatan margin dan keuntungan yang baik tahun depan," kata Sathia
Sementara itu, Pengerusi LMC International Ltd, James Fry, memberi amaran bahawa penurunan stok minyak sawit global akan meletakkan pasaran dalam kedudukan yang lebih ketat, dan akibatnya premium MSM berbanding minyak mentah Brent akan meningkat ke satu tahap di mana permintaan untuk minyak sawit akan beralih kepada minyak lain, yang akan menjadi lebih berdaya saing berbanding MSM.
"Bulan ini, harga premium MSM Eropah meningkat lebih tinggi ke paras puratanya berbanding minyak mentah Brent sejak 2010, yang pada masa yang sama mengurangkan diskaun MSM berbanding bunga matahari dan minyak kacang soya.
"Kini, kita berada dalam jajaran harga MSM, dengan levi dan cukai eksport akan diikenakan, namun digantung hingga akhir tahun. Langkah ini mungkin telah memainkan peranan dalam membolehkan harga meningkat seperti kedudukan sedia ada, tanpa penjual merasa bimbang akan cukai/levi eksport apabila harga meningkat," katanya.
Fry berkata keluaran MSM pada 2020 akan terus terjejas oleh faktor seperti kemarau dan pengurangan penggunaan baja pada 2019, yang akan menjejaskan hasil perladangan di Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu, PIPOC tahun ini mengetengahkan penekanan terhadap pelaksanaan dasar mengenai kemampanan, yang merupakan usaha berterusan yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan negara di peringkat global, dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil serta kumpulan berpendapatan rendah.
"Usaha kami juga selari dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu tiada kemiskinan dan tiada kelaparan. Pada masa yang sama, kami menekankan pengeluaran dan penggunaan kondusif," kata Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama Datuk Dr Tan Yew Chong.
Kementerian itu menjalin perkongsian awam-swasta dengan Majlis Negara Pengeluaran Minyak Sawit (CPOPC) untuk terus melindungi dan mempromosi industri sawit untuk manfaat semua pihak berkepentingan.
Usaha berterusan bagi mengekalkan pengeluaran sawit mampan termasuklah pelan untuk mewujudkan dana bagi menangani aktiviti diskriminasi terhadap minyak sawit, katanya.
Mengenai gesaan kerajaan kepada syarikat tempatan untuk memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Ketua Pengarahnya Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pematuhan terhadap pensijilan itu akan memperluas pasaran bagi minyak sawit Malaysia.
China, Jepun dan Korea Selatan kini mula mengenali sijil MSPO, katanya.
MPOB menandatangani memorandum perjanjian dengan lima syarikat petroleum pada hari terakhir kongres berlangsung, dengan matlamat menaik taraf kemudahan pengadunan biodiesel di 35 terminal petroleum di seluruh negara.
Lima syarikat itu ialah Petronas Dagangan Bhd, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Petron Malaysia Refining and Marketing Sdn Bhd, Chevron Malaysia Ltd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]