Berita

Untung bersih Petronas Gas jatuh 13.64 peratus kepada RM431.59 juta



KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd bagi suku ketiga menyusut 13.64 peratus kepada RM431.59 juta daripada RM499.81 juta pada suku sebelum ini dalam keadaan perolehan yang rendah dan kos membaiki dan penyenggaraan yang tinggi.

Perolehan bagi suku yang berakhir 30 Sept, 2019 juga menyusut pada RM1.338 bilion berbanding RM1.402 bilion sebelum ini. Ia mengumumkan dividen interim bagi suku ketiga pada 18 sen sesaham.

“Kami memberi tumpuan kepada usaha menjadi rakan penyelesaian kepada pelanggan di samping mengekalkan prestasi operasi seluruh aset.

“Aktiviti-aktiviti pemulihan adalah bagi memastikan integriti aset, manakala pemberian nafas baru kepada aset pula akan memanjangkan jangka hayatnya selama 20 tahun lagi,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Kamal Bahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Perkhidmatan sampingan semasa Petronas Gas merangkumi ‘Gassing Up and Cooling Down’ (GUCD) untuk limbungan pasca kering bagi kapal Gas Asli Cecair (LNG) serta pemuatan semula LNG.

“Menerusi pelaksanaan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO 2020), kami juga berhasrat untuk menjadi rakan penyelesaian pengisian minyak utama dalam masa terdekat,” kata Kamal Bahrin.

 Mengenai perkembangan liberalisasi pasaran gas di Malaysia, beliau berkata Petronas Gas amat menyokong inisiatif kerajaan mengenai Akses Pihak Ketiga berikutan ia membantu memastikan keselamatan bekalan kepada negara dan memacu kecekapan tenaga dan ekonomi.

“Ini akan menggalakkan lebih ramai pelabur memasuki Malaysia untuk melabur dalam industri berkaitan gas dan Petronas Gas akan menerima manfaat itu dengan menawarkan penyelesaian utiliti kepada industri baharu ini,” katanya.

Awal bulan lepas, PGB menyaksikan penghantaran kargo LNG pertama di bawah sistem Akses Pihak Ketiga. Kargo itu diterima di Terminal Regasifikasi LNG Sungai Udang dan dihantar kepada pelanggan menerusi saluran paip gas Penggunaan Gas Semenanjung.

Bagi tempoh kumulatif selama sembilan bulan, keuntungan bersih berjumlah RM1.45 bilion, iaitu lebih rendah berbanding RM1.49 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas, manakala perolehan berjumlah RM4.09 bilion berbanding RM4.11 bilion sebelum ini.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]