Berita

India akan sentiasa bergantung kepada Malaysia untuk minyak sawit - Pakar



KUALA LUMPUR, 19 Nov -- India akan sentiasa bergantung kepada Malaysia untuk memperoleh minyak sawit, kerana komoditi itu merupakan minyak makan paling murah di dunia.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pergantungan India kepada import minyak makan adalah sebanyak 74 peratus kerana negara itu juga amat bergantung kepada air hujan bagi tujuan pengairan untuk sektor pertanian.

“Di India, hanya 37 hingga 40 peratus daripada tanah pertaniannya mempunyai sistem pengairan, manakala pada tahun ini, negara itu dijangka hanya menghasilkan sembilan juta tan kacang soya berbanding  jangkaan sebanyak 12 juta tan berikutan monsun yang lewat tiba,” katanya.

Sathia berkata demikian dalam pembentangannya bertajuk ‘Palm Oil Driver of Economic Sustainability’ (Minyak Sawit Pemacu Kemampanan Ekonomi) di Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata justeru dari sudut permintaan, pasaran pertumbuhan utama untuk minyak sawit masih lagi  India dan China, manakala dalam 10 tahun akan datang, pasaran pertumbuhan utama ialah India, Indonesia dan China.

"China akan menggunakan campuran minyak makan dari Malaysia, kerana negara itu amat kekurangan minyak kacang soya berikutan pengurangan pemprosesan kacang soya akibat penularan wabak demam babi Afrika baru-baru ini.

"Satu perkara yang pasti ialah China akan kurang bergantung kepada arang batu untuk penjanaan tenaga dan beralih kepada etanol dan biodiesel," katanya.

Beliau berkata bagi Kesatuan Eropah (EU) pula, permintaan minyak sawit akan berkurangan disebabkan pelan penghapusan biobahan api sawit dalam benua tersebut.

Secara keseluruhannya, Sathia menjangkakan pengeluaran minyak sawit Malaysia melonjak 4.6 peratus kepada 20.3 juta tan pada 2019, manakala pertumbuhan pengeluaran bagi 2020 akan turun tiga hingga 3.5 peratus kepada 21.0 juta tan.

"Walaupun Malaysia ialah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia, dari sudut pertumbuhan jangka panjang, jika tidak mempercepatkan usaha penanaman semula, pengeluaran akan berkurangan," katanya.

Bagi paras stok akhir tahun, beliau menjangkakan ia berada pada 2.8 juta hingga tiga juta tan dan susut kepada bawah dua juta tan bagi suku keempat 2020.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]