Berita

Isu royalti, bayaran tunai petroleum dan gas dibincang Disember ini

KUCHING, 19 Nov -- Isu mengenai bayaran royalti dan pembayaran tunai bagi petroleum dan gas akan dibincangkan secara berasingan antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata perbincangan tersebut dijangka diadakan pada Disember ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 bersetuju untuk meneruskan perbincangan mengenai isu Petronas dan gas secara perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) antara Petronas, Petros dan kerajaan negeri.

“Jawatankuasa Khas Kabinet turut bersetuju agar satu Majlis Khas ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dibuat dalam Jawatankuasa Khas.

“Majlis Khas yang ditubuhkan ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan kedua-dua Ketua Menteri Sabah dan Sarawak turut dilantik menjadi ahli Majlis Khas ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas menenai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) itu yang diadakan semalam, Sharifah Hasidah berkata antara perkara yang masih dibincangkan ialah Semakan Semula Pemberian Khas, royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum.

Isu lain ialah tanah negeri yang diberi hak milik kepada Persekutuan, kuasa baki perundangan, pertambahan jawatan dan beberapa perkara lain, katanya.

“Bagi isu semakan semula pemberian khas, pihak Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi membincangkan secara terperinci mengenai rangka proses dan prosedur bagi semakan semula pemberian khas ini dan juga mengenai formula yang akan digunakan.

“Semakan Pemberian Khas ini akan turut membincangkan dengan lebih lanjut perkara-perkara lain termasuklah gantian sumber kewangan yang diserahhakkan kepada kerajaan negeri iaitu duti import dan eksais bagi produk petroleum yang mana sumber kewangan ini telah diberhentikan kerana kerajaan Pusat menandatangani Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) pada tahun 2001,” kata kenyataan itu.

Sehingga hari ini, sebanyak 21 isu telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet ini untuk diteliti dan dikaji secara bersama manakala tujuh isu telah mendapat persetujuan bersama.

Antara perkara yang telah dipersetujui adalah mengenai kuasa kawal selia pengedaran gas dan elektrik, serta penubuhan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan di negeri.

Penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai ‘labour conditions peculiar to the state’ di bawah Ordinan Buruh negeri masing-masing, dan penubuhan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan negeri Sarawak dan Sabah, turut dipersetujui, katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]