Berita

Serba Dinamik sasar lebih banyak projek penyelenggaraan pintar



Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Penyedia perkhidmatan kejuruteraan,  Serba Dinamik  Holdings Bhd merancang untuk mencari peluang bagi projek penyelenggaraan pintar pada tahun depan, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohd Karim Abdullah.

Beliau berkata kumpulan itu yakin aplikasi dan sistem penyelenggaraan pintar yang dibangunkan akan membantu pemilik aset meningkat dari segi aset dan produktiviti.

Katanya  Serba Dinamik  menyasarkan untuk memperluaskan perkhidmatan ke Timur Tengah dan Asia Tengah, selain projek-projek sedia ada di Malaysia dan Indonesia. 

"Kami telah menerima pesanan pembelian dari Indonesia untuk kami menjalankan pelaksanaan penyelenggaraan pintar aset mereka. 

"Di Malaysia, apa yang telah dipersetujui ialah syarikat minyak nasional telah membenarkan  Serba Dinamik  menggunakan aplikasi dan sistem penyelenggaraan pintar yang kami telah bangunkan dalam kontrak yang kami peroleh dengan Petronas," katanya kepada Bernama pada International Applied Vibration Conference (IAVIC) 2019 baru-baru ini.

Mohd Karim, yang juga Timbalan Presiden Institut Bahan Malaysia (IMM), berkata  Serba Dinamik  merancang untuk memperluaskan aplikasi penyelenggaraan pintar kepada sektor seperti penjanaan tenaga dan pengurusan kemudahan. 

"Aplikasi dan sistem penyelenggaraan pintar kami juga boleh digunakan dalam penyelenggaraan bangunan dan aset lain yang berkaitan dengan bangunan," katanya.    

Secara keseluruhannya, Mohd Karim berkata pelaksanaan Industri 4.0 (IR4.0) dalam industri minyak dan gas tempatan adalah rendah dan kesedaran diperlukan untuk mempercepatkan pelaksanaan IR4.0 dalam kalangan syarikat ini. 

"Berdasarkan kajian, mereka (syarikat O&G) masih dalam Revolusi Perindustrian Ketiga (IR3.0). Antara komponen utama dalam IR3.0 ialah pendigitalan maklumat data dan beberapa syarikat minyak dan gas telah mula atau telah melaksanakan proses pendigitalan ini. 

"Kemudian IR4.0 yang melibatkan pengumpulan data dalam format digital yang boleh digunakan dalam analisis data dan mempercepatkan keputusan data yang dikumpul. Terdapat banyak perkara untuk membina kesedaran dan menjadikannya bersedia untuk dilaksanakan dalam industri," katanya.

Bertemakan, "Vibration in the Era of Industrial Revolution 4.0", acara selama dua hari itu diadakan pada 13-14 Nov, 2019. 

Acara itu menekankan standard, teknologi dan amalan terbaik terkini bukan hanya menyelesaikan tetapi juga menguruskan isu-isu getaran berkaitan manusia, proses, pengangkutan, bangunan dan struktur serta jentera. 

 Serba Dinamik  merupakan kumpulan perkhidmatan antarabangsa yang menyediakan penyelesaian kejuruteraan bersepadu kepada industri minyak dan gas, petrokimia, penjanaan tenaga, sisa dan air sisa serta utiliti. Setakat ini, nilai perolehan kontrak kumpulan itu melebihi RM10 bilion. 

-- BERNAMA 

 

  

 

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]