Berita

IPO Solarvest terlebih langgan 35 kali

KUALA LUMPUR, 14 Nov -- Solarvest Holdings Bhd yang dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Nov, hari ini mengumumkan bahagian awam tawaran awam permulaannya (IPO) terlebih langgan sebanyak 35 kali.

Syarikat itu yang mengkhususkan dalam perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) siap guna bagi sistem fotovoltaik solar menerima 10,205 permohonan bagi 708.32 juta saham baharu bernilai RM247.91 juta bagi 19.53 juta saham baharu yang diperuntukkan untuk rakyat Malaysia.  

Solarvest dalam satu kenyataan berkata 3,886 permohonan bagi 210.94 juta saham baharu diterima bagi bahagian Bumiputera, yang mewakili kadar lebihan langganan 20 kali.

Bagi baki bahagian awam, syarikat itu menerima 6,319 permohonan bagi 497.38 juta saham baharu, mewakili kadar lebihan langganan 50 kali.

Solarvest, yang 45 peratus dimiliki oleh Chin Hin Group Bhd yang tersenarai di Pasaran Utama, merancang mengumpulkan kira-kira RM34.6 juta daripada penyenaraiannya, melibatkan terbitan 98.83 juta saham baharu berharga 35 sen setiap satu.

Sebanyak 19.53 juta saham baharu yang diperuntukkan bagi pengarah, kakitangan dan orang yang layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan telah dilanggan sepenuhnya. 

Tawaran saham persendirian berjumlah 59.77 juta saham disediakan kepada pelabur terpilih serta pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah dilanggan sepenuhnya. 

Notis peruntukan akan diposkan kepada pemohon yang berjaya menjelang 21 Nov. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Davis Chong Chun Shiong, berkata minat memberangsangkan daripada orang awam Malaysia adalah bukti sokongan padu kepada perniagaan dan pertumbuhan syarikat.  

"Terdapat peluang besar yang belum dimanfaatkan dalam industri dan kami percaya Solarvest berkedudukan baik mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap tenaga bersih,” katanya.  

Daripada jumlah hasil yang dikumpulkan, syarikat itu akan menggunakan RM19.2 juta atau 55.5 peratus bagi modal kerja untuk operasi harian dan projek masa depan manakala RM3 juta bagi pengembangan geografi.

Solarvest berkata ia akan meluaskan pasarannya di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, meneruskan peluang perniagaan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Selain Malaysia, kumpulan itu juga merancang memasuki pasaran baharu iaitu Vietnam dan Taiwan.

Selain itu, RM4 juta akan diperuntukkan untuk membeli jentera dan peralatan projek yang baharu serta menaik taraf perisian dan perkakas teknologi maklumat, RM5 juta bagi pembayaran semula pinjaman bank dan RM3.4 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar

IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  


Ahli Dewan Negara Cadang Tnb Beri Rebat Bil Elektrik Susulan Fenomena Cuaca Panas

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.


Utp Menang Anugerah Tenaga Negara Sebagai Pengiktirafan Usaha Kemampanan

KUALA LUMPUR, 18 Mac  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di bawah Kategori Anugerah Khas untuk Institusi Pengajian Tinggi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha-usaha kemampanannya.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]