Berita

Syarikat pemula niaga perlu tinjau peluang selain sektor IT

Serba Dinamik group managing director and group chief executive director Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

KUALA LUMPUR, 14 Nov -- Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan  Serba Dinamik  Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah menggesa pengusaha syarikat pemula niaga untuk mengubah persepsi dengan meninjau peluang melangkaui teknologi maklumat (IT) sebagai perniagaan pilihan mereka.

Malah, katanya, adalah biasa untuk mengaitkan pemula niaga dengan IT berikutan pertumbuhan syarikat baharu dalam sektor itu termasuk kejayaan syarikat berstatus 'unicorn' yang mencatat kadar pertumbuhan perniagaan amat cemerlang seperti Grab dan firma e-dagang terkemuka iaitu Lazada dan Shopee.

"Adakalanya orang membuat andaian salah iaitu syarikat pemula niaga ini berkait rapat dengan IT walaupun ia bukanlah sedemikian. Ia sebaliknya boleh membabitkan teknologi baharu berkaitan dengan penyelenggaraan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mohd Abdul Karim yang juga pengasas  Serba Dinamik , telah mengemudi syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas (O&G) itu menjadi sebuah syarikat bernilai RM6 bilion dari segi modal pasaran.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata syarikat pemula niaga yang mahu berjaya perlu mengetengahkan produk dan perkhidmatan yang mampu seiring atau saling melengkapi amalan tradisional.

"Apabila kami memperkenalkan perkhidmatan penyelengaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), ada yang menyifatkan bahawa bidang itu melibatkan aeronautik dan aeroangkasa. Namun, kami menyangkalnya.

"Oleh itu, kami menggunakan terminologi MRO itu secara meluas dan sekarang apabila ada yang berbicara mengenainya, minda (dan persepsi) itu juga telah berubah. Ia tidak semestinya mengenai aeroangkasa dan aeronautik," katanya.

Beliau juga menasihati kalangan syarikat pemula niaga untuk berani berfikir di luar minda dengan menjadikan yang asing kepada lazim selain mengutamakan kemampanan pelan perniagaan demi kelangsungan syarikat mereka.

"Sudah pasti pasti sesiapa pun tidak mahu dikenali sebagai usahawan sehari, sebulan atau setahun. Biarlah dikenali sebagai usahawan dari satu generasi kepada generasi berikutnya," katanya.

Berpegang kepada matlamat sedemikian, beliau mengingatkan syarikat pemula niaga untuk sentiasa memiliki pelan sokongan sekiranya pelan induk sedia ada terbukti tidak berjaya sebagaimana diharapkan.

Menurutnya, syarikat pemula niaga juga tidak harus berasa selesa dengan kejayaan sebaliknya perlu sentiasa menambah baik syarikat tersebut supaya dapat seiring dengan persekitaran perniagaan global yang pesat serta dipacu oleh aspek pendigitalan.

"Apabila syarikat pemula niaga meraih kejayaan dan dikenali ramai, langkah itu tidak seharusnya terhenti kerana 'kejayaan itu merupakan satu perjalanan dan bukan destinasi," tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Abdul Karim juga menggesa agar lebih banyak usaha dilaksanakan untuk menggalakkan syarikat swasta menjadi syarikat peneraju bagi membangunkan ekosistem pemula niaga.

"Jika anda lihat inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan, hanya dua syarikat swasta menjadi syarikat peneraju sedangkan terdapat ribuan syarikat swasta namun mereka enggan tampil.

"Oleh itu, inisiatif berkenaan perlulah lebih agresif bagi membawa masuk lebih banyak syarikat peneraju," katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]