Berita

108 syarikat tempatan dapat manfaat daripada VDP Petronas dengan nilai kontrak RM9 bilion - Azmin



KUALA LUMPUR, 13 Nov -- Sebanyak 108 syarikat tempatan mendapat manfaat melalui program pembangunan vendor (VDP) Petronas dengan kontrak bernilai kira-kira RM9 bilion setakat Oktober tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dalam usaha memastikan lebih ramai vendor serta perunding tempatan terlibat secara aktif dan kompetitif dalam industri minyak dan gas, Petronas, dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi telah melaksanakan pelbagai usaha, program serta inisiatif, termasuk VDP.

"Petronas memandang serius dalam membangunkan kapasiti dan keupayaan perunding tempatan. Sebagai contoh, apabila aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas Petronas di Turkmenistan dan Myanmar, perunding tempatan lebih dilibatkan bersama.

“Ia memandangkan infrastruktur dan kepakaran negara tersebut masih terhad dan ini membuka peluang kepada perunding-perunding ini untuk meneroka pasaran baharu,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berkenaan rungutan dalam kalangan perunding industri minyak dan gas mengenai penggunaan perunding luar negara dan tidak memberi kepercayaan dan peluang kepada perunding tempatan.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, Azmin berkata syarikat perunding tempatan merangkumi lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat perunding yang dilantik Petronas.

"Bagi skop kerja yang terlalu khusus dan teknikal seperti kejuruteraan, pemilikan, pembinaan dan perlaksanaan (EPCC), teknologi proprietari dan digital (ICT), kepakaran tempatan adalah sangat terhad dan perlu diperoleh daripada sumber luar.

"Sebagai contoh, teknologi pemetaan seismik laut dalam hanya dimiliki oleh segelintir syarikat global, dan kepakaran ini tidak dimiliki oleh mana-mana perunding tempatan atau boleh dibangunkan dalam masa singkat oleh Petronas sendiri,” katanya.

Kerja-kerja yang dilaksanakan itu juga, katanya, memerlukan kos modal yang tinggi, berteknologi tinggi, kompleks dan rumit kerana lapangan minyak dan gas yang ada sekarang adalah di laut dalam dan mempunyai kadar kontaminan yang tinggi.

Setakat ini, Azmin berkata hanya terdapat empat firma global yang menawarkan khidmat pemerolehan seismik laut dalam di dunia.

"Petronas melantik perunding-perunding atau vendor-vendor dari luar negara untuk memastikan kelangsungan projek dan sasaran kritikal tercapai,” katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]