Berita

Penyenaraian Saudi Aramco petunjuk bahawa kerajaan Arab Saudi mahu perjanjian dimuktamadkan

Dr Renato Lima de Oliveira

Laporan Eksklusif Oleh: Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 12 Nov -- Selepas bertahun-tahun tertangguh, penyenaraian syarikat minyak terbesar dunia, Saudi Aramco, yang dijadualkan bulan depan, dilihat sebagai petunjuk bahawa kerajaan Arab Saudi mahu memuktamadkan urusan itu dengan segera.

Saudi Aramco (Aramco) ialah syarikat petroleum dan gas asli Arab Saudi yang berpangkalan di Dhahran, Arab Saudi dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negara di Timur Tengah itu.

Profesor Madya Pengurusan Asia School of Business Dr Renato Lima de Oliveira berkata langkah penyenaraian itu mungkin dipengaruhi oleh tindakan pelabur untuk mengurangkan portfolio pelaburan mereka dalam syarikat minyak dan gas atas pelbagai sebab, termasuk perubahan iklim dan tenaga boleh baharu yang semakin kompetetif.

"Kemungkinan besar menjelang akhir dekad akan datang, penggunaan minyak akan merosot dan turun secara perlahan. 

"Gas asli dijangka kekal berkembang dan memainkan peranan sebagai sumber tenaga yang diperlukan untuk mendokong bahagian tenaga boleh baharu dalam grid.   

“Ini kerana tenaga boleh baharu adalah sumber berkala, dan itu merupakan suatu masalah sehingga kita membangunkan simpanan tenaga berskala utiliti," katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.

Syarikat minyak utama Arab Saudi itu baru-baru ini mengumumkan hasratnya untuk meneruskan pelaksanaan Tawaran Awan Permulaan (IPO) di pasaran saham Saudi, yang akan menjadi IPO terbesar dalam sejarah dunia.

Bagaimanapun Aramco masih perlu mengatasi satu halangan yang sangat penting - penilaiannya.

Kerajaan Arab mendakwa Aramco bernilai US$2 trilion yang akan dikumpulkan untuk pembaharuan ekonomi, namun bank-bank mempunyai pendapat yang berbeza, menetapkan penilaian sekitar US$1.5 trilion.  

Aramco menerbitkan prospektus IPO pada 9 Nov ini dengan penyenaraian sebenar di Bursa Saham Arab Saudi, Tadawul, dijangka berlaku pada bulan Disember. 

Bagaimanapun, syarikat minyak itu tidak memberikan saiz sebenar saham yang akan ditawarkan, namun berkata ia menyasarkan untuk menjual sehingga 0.5 peratus sahamnya kepada pelabur runcit individu, dengan proses IPO dijadual bermula pada 17 Nov.

Sementara itu, de Oliveira menyatakan bahawa gas asli mempunyai masa depan yang cerah, namun Arab Saudi tidak mengeluarkan banyak gas, dengan hampir 90 peratus daripada pengeluarannya terdiri daripada minyak mentah.

Oleh itu, ia tidak positif untuk syarikat minyak dan gas, terutamanya yang memberi tumpuan kepada minyak mentah dalam tempoh sederhana, katanya.

"Jadi, anda mungkin mahu melibatkan diri pada masa depan dan menjual saham syarikat tersebut sekarang, dan tanpa penemuan teknologi baharu ia menjadikan masa depan kurang bermanfaat bagi pengeluar minyak dan gas," katanya.

Bagaimanapun, de Oliveira berkata beliau tidak melihat IPO memberi kesan ketara di pasaran minyak lain. 

"Ia mempunyai kesan positif jika lebih banyak maklumat tentang Aramco didedahkan, termasuk tahap keuntungan, kos pengeluaran, dan rizab, namun apa yang telah didedahkan tidak mengejutkan.

"Selain itu, satu-satunya kesan ialah sekiranya IPO itu gagal, ia akan memberi isyarat yang sangat negatif bagi industri itu. Bagaimanapun, risiko ini telah ditangani dengan mengapungkan saham hanya di pasaran saham tempatan - bahagian yang tidak seberapa daripada jumlah penilaian terhadap syarikat tersebut - kurang daripada 10 peratus," katanya.

Ditanya mengenai risiko infrastruktur selepas serangan dron baru-baru ini terhadap kemudahan pemprosesan minyak mentah Aramco, Oliveira berkata serangan itu mempunyai kesan jangka pendek terhadap harga minyak, yang melantun semula ke tahap US$60.

"Pelabur sama ada menolak kemungkinan serangan serupa atau percaya bahawa pembekal baharu, seperti pengeluar syal dari Amerika Syarikat atau minyak luar pesisir dari Brazil, menjadikan peranan Arab Saudi sebagai pengeluar utama dan penjamin kestabilan pasaran minyak global kurang relevan," katanya. 

Pada 14 September, serangan dron terhadap kemudahan pemprosesan minyak mentah Aramco di Abqaiq dan medan minyak Khurais mengurangkan sebanyak 58 peratus pengeluaran minyak mentah Arab Saudi.

Pemberontak Houthi Yaman mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu tetapi negara barat menyalahkan Iran. 

Bagaimanapun, Aramco berkata ia tidak menjangkakan serangan ke atas loji minyaknya mempunyai kesan material terhadap perniagaan, operasi dan kedudukan kewangannya.

-- BERNAMA 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]