Carl Bek-Nielsen (File photo)
Daripada Nurul Hanis Izmir
KRABI, 7 Nov -- Pematuhan sepenuhnya terhadap aspek kemampanan oleh negara pengeluar minyak sawit merupakan satu-satu cara untuk menjamin masa depan industri itu dan sekaligus memainkan peranannya dalam menangani perubahan iklim, kata Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Bhd (UP) Datuk Carl Bek-Nielsen.
Sama ada Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO), pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) atau Minyak Sawit Mampan Indonesial (ISPO), negara dan penanam perlu mengutamakan kemampanan, kerana kesannya telah terbukti positif secara menyeluruh, katanya.
UP dinamakan sebagai pengeluar minyak sawit mampan bertauliah yang pertama di dunia oleh RSPO pada 2008.
“Dengan mematuhi (contohnya) RSPO, syarikat secara automatik dapat menghentikan penebangan hutan, yang akan membolehkan pengguna membuat pilihan dengan baik,
“Pengeluar yang mematuhi RSPO, boleh dikatakan akan dapat mengeluarkan hasil lebih banyak dengan kawasan terhad, kerana amalan pertanian terbaik akhirnya akan membawa kepada peningkatan hasil tuaian dan menurunkan kadar pelepasan gas rumah hijau,” kata Bek-Nielsen, yang juga pengerusi bersama RSPO kepada Bernama di sini, hari ini.
Katanya telah terbukti perladangan yang mengguna pakai amalan RSPO mampu mengeluarkan 1kg minyak sawit yang mempunyai kadar karbon sekurang-kurangnyanya 25-30 peratus lebih rendah berbanding dengan apa yang dicapai oleh pengeluar minyak biji sesawi Eropah ketika ini.
Beliau berkata inisiatif itu akan secara perlahan-lahan, tetapi pasti, membantu memberikan imej lebih baik terhadap minyak sawit.
Bek-Nielsen turut ditanya sekiranya beliau bimbang terhadap kemerosotan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia berikutan kempen negatif berterusan terhadap tanaman itu oleh Kesatuan Eropah (EU) dan gesaan oleh persatuan perdagangan India untuk melarang import komoditi itu.
Beliau menjawab bahawa di peringkat global, tidak lebih daripada lima hingga enam negara adalah pengeksport bersih minyak sayuran.
“Baki negara di dunia adalah pengimport bersih dan tidak mampu membuat pengeluaran mencukupi untuk memenuhi permintaan yang terus meningkat.
"Malaysia dirahmati dengan iklim yang baik, dengan taburan hujan yang agak baik digabungkan dengan tanah yang subur dan jumlah cahaya matahari yang banyak dan antara lima atau enam pengeksport minyak sayuran dunia.
"Jadi, saya melihat permintaan terhadap minyak sawit Malaysia yang berkualiti tinggi datang daripada banyak negara, termasuk India. Wujud hubungan sejarah dan budaya yang sangat kuat antara India dan Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, Bek-Nielsen juga menekankan bahawa negara pengeluar, terutamanya Malaysia, perlu meningkatkan hasil purata dengan penggunaan tanah yang terhad dan ini boleh dilakukan dengan melaksanakan dan menguatkuasakan piawaian RSPO atau MSPO.
"Dalam 30 tahun akan datang kita akan menyaksikan penduduk dunia berkembang dengan tambahan 2.2 bilion orang, dengan kelas pertengahan dunia berkembang kepada hampir tiga bilion lagi. Kita perlu menghasilkan 70 peratus lebih makanan dan 65 peratus lebih banyak minyak masak sepanjang tempoh 30 tahun akan datang.
"Di sinilah minyak sawit mampan akan memainkan peranan amat penting dalam membantu kami mencapai pengeluaran minyak sayuran lebih tinggi dan menyediakan sebahagian besar permintaan.
"Bayangkan jika tambahan minyak ini perlu dihasilkan dengan menanam sesawi atau kacang soya, ia memerlukan 9-10 kali ganda lebih banyak tanah, menyebabkan kesan yang lebih teruk terhadap biodiversiti dan penebangan hutan," katanya.
Beliau juga menggesa belanjawan lebih besar diperuntukkan bagi industri itu untuk membolehkan ia melibatkan diri secara efektif dengan pihak berkepentingan yang perlu, supaya mereka lebih memahami kepentingan industri, yang kini menyara kehidupan lebih 650,000 pekebun kecil dan bagaimana tanaman itu membantu ribuan keluarga keluar daripada kemiskinan.
Dalam Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan RM27 juta untuk menangani kempen anti-minyak sawit dan menghapuskan halangan perdagangan untuk meningkatkan akses pasaran.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]