KUALA LUMPUR, 6 Nov -- MARA Corporation mempertahankan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatanganinya dengan Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi usaha sama membabitkan beberapa projek, termasuk menarik pelanggan industri hiliran dan huluan ke Malaysia.
Pengerusi MARA Corporation Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata berbanding dengan laporan berita bahawa MoU itu ditandatangani tanpa persetujuan MARA sendiri, sesi libat urus telah diadakan dengan semua pihak berkepentingan relevan berhubung perkara dan ia telah ditandatangani dengan mematuhi semua syarat bagi tadbir urus baik.
Sebagai penjelasan berhubung isu itu, beliau berkata MoU itu dibawa kepada perhatian Lembaga MARA Corporation pada 23 Sept dan diluluskan dengan kehadiran wakil Lembaga daripada Majlis MARA.
"Kelulusan itu bukan bersyarat selain daripada ia dipersetujui agar ia dirahsiakan dan dipercepatkan, dengan memahami akan sensitiviti Mou itu kerana syarikat induk Lynas Malaysia disenaraikan di Bursa Saham Australia.”
Akramsyah berkata Pengerusi MARA Dr Hasnita Hashim, juga kemudiannya diberi taklimat berhubung perkara itu dalam perbincangan secara privasi dengannya pada 2 Okt manakala pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah diberikan perkembangan terkini sehingga MoU itu ditandatangani pada Isnin.
Beliau berkata keperluan mendesak bagi entiti seperti MARA Corporation untuk memangkin aktiviti hiliran industri nadir bumi Malaysia, keupayaan penyelidikan dan teknologi dengan memanfaatkan kehadiran Lynas Malaysia.
"Kami mahu memanfaatkan peluang ini untuk negara, bermula dengan MoU ini dan penyertaan kami dalam Persidangan Nadir Bumi ke-16 yang akan diadakan pada lewat minggu ini di Kuala Lumpur," katanya.
Akramsyah menegaskan MARA Corporation menyifatkan MoU itu sebagai sah dan akan terus mendukungnya dengan mengambil kira ia adalah strategik kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
"Ia juga memenuhi mandat MARA dalam memberi tumpuan pada bidang pertumbuhan berpotensi untuk kaum Melayu dan Bumiputera, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, dizahirkan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan, khususnya menerusi pewujudan kerja baharu bernilai tinggi kepada ekonomi daripada usaha sama ini," katanya.
Lynas Malaysia ialah pengeluar bahan nadir bumi terbesar di luar China.
Nadir bumi adalah input penting kepada teknologi tinggi dengan kegunaan utama sebagai magnet kekal, penukar berpemangkin, pemangkin, bateri, elektronik dan bahan kimia rawatan air.
Pengguna akhir bumi nadir termasuk pembakaran dalaman, kenderaan hibrid dan elektrik, sistem automasi dan pertahanan, turbin angin dan minyak dan gas.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]