Berita

NGC Energy sasar 25 peratus bahagian pasaran LPG pada akhir tahun



Oleh Azlee Nor Mahmud

KUALA LUMPUR, 31 Okt -- NGC Energy Sdn Bhd, antara penggiat industri gas petroleum cecair (LPG) utama negara, menyasarkan untuk meningkatkan bahagian pasaran di Semenanjung Malaysia kepada 25 peratus pada akhir tahun, daripada 22 peratus pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Julianna Kamaruddin berkata syarikat itu yang mengambil alih perniagaan pengedaran LPG Shell (M) Trading, berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai penggiat LPG nombor dua negara selepas Petronas dari segi bahagian pasaran.

"Bahagian pasaran kami sebanyak 22 peratus dan jika digabungkan dengan Sabah dan Sarawak, ia sebanyak 18 peratus," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Bagaimanapun, katanya dengan peningkatan bahagian pasaran, jumlah dagangan untuk sektor domestik merosot. 

"Terdapat pengurangan tuntutan subsidi dengan Kementerian Kewangan atau melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia dari 2017 hingga 2019," katanya.

Julianna berkata syarikat merancang untuk meningkatkan kerjasama dengan pengedar untuk mencapai 25 peratus bahagian pasaran.

"Dalam industri LPG, syarikat minyak tidak dibenarkan menjual runcit secara terus kepada pasaran, ia mesti melalui pengedar.

“Itu antara syarat dalam Akta Pembangunan Petroleum dan cara untuk mengekalkan jumlah dagangan dan pasaran kita berkembang, ialah melalui pengedar ini sama ada pertumbuhan organik atau bukan organik," katanya.

Dari segi insentif kepada pengedar, Julianna berkata ia bergantung kepada keadaan pasaran.

"Kita perlu melalui jaringan pengedar, kami mengakui mereka menghadapi isu kos meningkat, bagaimanapun semua perniagaan perlu menghadapi cabaran kos. 

"Kami tidak menafikannya bahawa kadangkala kami terpaksa memberi insentif yang lebih tinggi untuk meningkatkan daya saing, dan terdapat juga keadaan di mana kami menyemak semula model operasi pengedar, supaya kami dapat menjadikannya lebih kos efektif untuk mereka," katanya.

Julianna berkata pada masa ini, tumpuan syarikat adalah kepada portfolio seimbang antara bahagian pasaran dan keuntungan.

"Dengan harga dikawal oleh kerajaan, kami perlu mengimbangi portfolio antara bahagian pasaran dan keuntungan," katanya.

Julianna berkata kerajaan memberi subsidi harga kepada rakyat Malaysia, tetapi masih tiada perbezaan, dan ia tidak melaksanakan mekanisme subsidi bersasar.

Katanya ini bermakna sesiapa boleh membeli LPG domestik pada harga subsidi sebanyak RM26.60, tetapi untuk industri dan komersial, harga LPG diapungkan mengikut harga pasaran antarabangsa.

Beliau berkata penggiat industri turut terkesan dari segi penggunaan domestik dan industri, apabila terdapat sebahagian daripada penggunaan LPG untuk kegunaan rumah digunakan di kedai-kedai makan.

"LPG yang bersubsidi digunakan di kedai-kedai makan dan pasar malam, walaupun sepatutnya menggunakan tong LPG 50 kg, tetapi ia tidak berlaku," katanya. 

Beliau berkata kerajaan bimbang mengenai isu ketirisan subsidi dan syarikat sering mengadakan dialog dengan pihak industri LPG serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menangani masalah itu.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]