Berita

India dijangka kekal sebagai pembeli minyak sawit Malaysia - Penganalisis



Laporan eksklusif oleh Nurul Hanis Izmir

 

KUALA LUMPUR, 31 Okt  – India yang bergantung kepada 70 peratus import minyak makan, dijangka meneruskan pembelian minyak sawit bertapis Malaysia walaupun kerajaannya merancang untuk menaikkan cukai import, kata seorang penganalisis.

Cadangan kenaikan cukai itu dibuat atas alasan untuk meningkatkan usaha pemprosesan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembelian dari negara asing.

“Cukai sedia ada sudah terlalu tinggi. Namun, jika itu dilaksanakan, India masih perlu meneruskan pembelian (minyak sawit) dari Malaysia dan Indonesia," kata Dr Sathia Varqa, pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpejabat di Singapura, kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan harga minyak sawit mentah (MSM) Indonesia yang lebih rendah iaitu didagangkan pada diskaun US$20-S$30 berbanding MSM Malaysia, India sebaliknya akan membeli lebih banyak dari Indonesia berbanding Malaysia.

Sathia turut menjangkakan India akan membeli sebanyak 10.20 juta tan minyak sawit pada 2020 iaitu meningkat daripada anggaran sebanyak 9.50 juta tan pada tahun ini.

“Unjuran itu tidak berubah. India secara amnya membeli 75 peratus minyak itu dari Indonesia dan selebihnya dari Malaysia," katanya.

Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan India sedang dalam proses membincangkan cadangan untuk mengenakan levi baharu sebagai tambahan kepada duti import sedia ada selain menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan ke atas minyak tropika yang telah diproses.

Bulan lepas, India bertindak menaikkan duti import ke atas minyak sawit bertapis Malaysia kepada 50 peratus daripada 45 peratus bagi mengurangkan import dan menggalakkan usaha penapisan di peringkat tempatan.

India merupakan pengimport minyak sawit terbesar dunia dan pada tahun lepas telah mengimport sebanyak sembilan juta tan minyak sawit bernilai RM23.02 bilion termasuk 2.51 juta tan yang diimport dari Malaysia.

Malah, India turut menyumbang 15 peratus daripada eksport minyak sawit Malaysia.

Sekiranya kenaikan cukai itu dilaksanakan, ini mungkin menyebabkan harga minyak sawit Malaysia mengalami penurunan kecil dan kerajaan perlu mencari pasaran baharu atau bertindak mengembangkan pasaran semasanya.

Sebarang langkah untuk melaksanakan kandungan bio 20 peratus atau program biodiesel B20 dilihat dapat meningkatkan permintaan minyak sawit dalam negara kepada 500,000 tan setahun.

Selain India, Malaysia turut mengeksport minyak sawit ke lebih 170 negara, termasuk China, Kesatuan Eropah dan Timur Tengah.

Sewaktu urus niaga ditutup pada Selasa, peningkatan kontrak hadapan MSM di Bursa Malaysia dilihat ketara apabila menokok 82 mata kepada kurang RM2,500 satu tan berikutan spekulasi pasaran eksport bagi Oktober meningkat antara 12 peratus dan 20 peratus berbanding penurunan pengeluaran yang mengehadkan bekalan dan permintaan.

Malah, pasaran turut mencecah paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan, semalam.

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]