Berita

Belanjawan 2020: Kerajaan Kedah peruntuk lebih RM24 juta untuk lestarikan alam sekitar



ALOR SETAR, 20 Okt -- Kerajaan Kedah memperuntukkan RM24.42 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk meningkatkan pengurusan, pembangunan semula kawasan hutan simpan dan peningkatan kemudahan di semua hutan lipur di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata ekoran pemberhentian aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda sehingga menyebabkan negeri kehilangan hasil, kepentingan menjaga sumber air kini lebih diutamakan.

"Kerajaan negeri telah memohon sumbangan kehilangan hasil daripada kerajaan Persekutuan dan merancang untuk menambah keluasan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda," katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2020 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Menurut beliau cadangan kawasan tambahan itu adalah sebanyak lebih 33,893.6 hektar, yang akan menjadikan keseluruhan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda kepada 50,122.3 hektar.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan mewartakan kawasan seluas 8,190.8 hektar di Hutan Simpan Bukit Saiong di Sik sebagai kawasan tadahan air.

Sementara itu, Mukhriz berkata bagi menggalakkan aktiviti penjanaan kuasa solar, kerajaan negeri memberikan kelonggaran kepada syarikat-syarikat untuk mendirikan ladang solar di atas tanah pertanian tanpa perlu mengubah status syarat tanah tersebut.

"Sehingga kini beberapa syarikat swasta sudah menjalankan operasi ladang solar di Kuala Ketil, Bukit Selambau, Pendang, Sik, Gurun, Sungai Petani dan Pokok Sena dengan penjanaan kuasa tenaga solar berjumlah lebih 200 megawatt.

"Usaha ini adalah bukti keseriusan kerajaan negeri untuk memastikan kelestarian alam semula jadi selain mengurangkan pelepasan karbon ke atmosfera," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan menubuhkan Syarikat Kedah Tourism Sdn Bhd yang akan menyelaras dan menggerakkan promosi serta penganjuran acara-acara pelancongan di negeri ini.

"Sejumlah RM1 juta disediakan bagi maksud itu, manakala peruntukan sebanyak RM1 juta pula diperuntukkan bagi menaik taraf Muzium Negeri," katanya.

Selain itu, Mukhriz berkata kemudahan pelancongan di Jerai Geopark akan ditambah, di samping menyediakan dosir untuk mencalonkan Jerai Geopark diiktiraf sebagai 'Unesco Global Geopark' pada 2021.

Bagi merancakkan ekonomi negeri pula, katanya kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM42.8 juta melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bagi mengukuhkan jaringan perhubungan jalan raya yang akan menyokong pembangunan negeri.

Dalam masa yang sama, beliau berkata kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengurangkan beban hutang sebanyak RM2.68 bilion dengan mencari jalan membuat pembayaran hutang sedia ada secara berperingkat.

"Amalan lalu adalah membayar hutang apabila mempunyai kemampuan atau 'payable when able', tapi amalan itu seperti tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah negeri yang bermaruah, kerajaan negeri sama sekali tidak akan berserah kepada nasib, malah akan berusaha mencari sumber-sumber baharu untuk mencorakkan ekonomi yang lebih baik.

-- BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]