Berita

Pastikan keselamatan di stesen minyak pada tahap terbaik - KPDNHEP



KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Pengusaha stesen minyak bertanggungjawab memastikan tahap keselamatan persekitaran premis mereka berada di tahap yang terbaik termasuk dari segi kelengkapan peralatan pemadam api supaya dapat mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan harta sekiranya berlaku kebakaran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, peranan itu perlu dikongsi bersama oleh pengguna dengan mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mencetuskan kebakaran.

“Kita lihat masih ada lagi pengguna yang menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit ketika mengisi minyak, ini boleh menyebabkan kebakaran seterusnya membahayakan keselamatan semua orang yang berada di premis itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum peringkat Wilayah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mereka yang didapati merokok di kawasan stesen minyak boleh dikenakan tindakan  mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun sekiranya sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Jalailudin Abdul Mubin pula menyarankan pengusaha stesen minyak agar meletakkan iklan video berkaitan langkah-langkah keselamatan termasuk cara menggunakan alat pemadam api supaya dapat ditonton pengguna ketika sedang mengisi minyak.

"Ini kerana bukan semua orang tahu cara mengendalikannya. Perlu juga memaparkan bagaimana untuk kenal pasti bahan punca kebakaran antaranya pepejal, cairan seperti petrol dan peralatan elektrik," katanya.

Kempen kesedaran itu merupakan program tahunan KPDNHEP dengan syarikat-syarikat pengusaha minyak, dan kempen di peringkat Wilayah Kuala Lumpur tahun ini melibatkan kerjasama dengan syarikat Chevron Malaysia Limited. 

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]