Berita

Lubnan berminat tingkatkan hubungan perdagangan dengan Malaysia



Oleh Mohd Nasir Yusoff

KUALA LUMPUR, 16 Okt -- Lubnan berminat mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala dan pelaburan dengan Malaysia, terutamanya dalam sektor keutamaannya, iaitu tenaga, air dan air sisa kumbahan, sisa pepejal, infrastruktur, telekomunikasi, dan industri asas tani.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Jeddah, Yusram Yusup menggalakkan syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran Lubnan dan mewujudkan hubungan perniagaan dengan syarikat di negara itu.

"Perdagangan dua hala dan pelaburan antara Malaysia dan Lubnan boleh ditingkatkan melalui usaha sama dan kerjasama serta banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dari Beirut kepada Bernama, di sini, hari ini.

Lubnan mempunyai ekonomi berorientasikan pasaran, persekitaran perniagaan yang selamat, tenaga kerja berkemahiran tinggi, dan menyediakan akses penting ke pasaran Timur Tengah dan Eropah, kata Yusram sambil menambah bahawa faktor-faktor ini menyediakan persekitaran perniagaan yang ideal untuk pelabur Malaysia.

"Kita perlu menggalakkan lebih banyak kerjasama perdagangan dan pelaburan di kalangan komuniti perniagaan di kedua-dua negara yang menyediakan peluang kepada syarikat Malaysia dalam sektor berkaitan," katanya.

Yusram, pada Selasa bertemu dengan Ketua Pengarah Dewan Industri Perdagangan dan Pertanian Rabbah Rabih Sabra dan ahli jawatankuasanya.

Nilai perdagangan antara kedua-dua negara pada tahun lepas mencapai US$81.0 juta (US$1 = RM4.19), dengan eksport Malaysia berjumlah US$75.2 juta manakala import memihak kepada Malaysia pada US$5.8 juta.

Bagi tempoh Januari-Ogos 2019, jumlah perdagangan bernilai US$45.6 juta dengan eksport Malaysia lebih tinggi berbanding import masing-masing pada US$43.6 juta dan US$2.1 juta.

Barangan eksport utama Malaysia ke Lubnan pada 2018 adalah produk getah, produk pertanian berasaskan minyak sawit, produk kayu, makanan diproses dan produk pertanian lain.

Manakala barangan import utama Malaysia dari Lubnan adalah logam, makanan diproses, tekstil, pakaian dan kasut.

-- BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]