Berita

Pelaksanaan e-bida beri penjimatan dalam dana tenaga boleh diperbaharui - SEDA

PUTRAJAYA, 15 Okt -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mencatatkan penjimatan tenaga yang besar bagi dana tenaga boleh diperbaharui (RE) apabila ia memperkenalkan e-bida tahun lepas. 

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata e-bida biogas pertama tahun lepas menyaksikan purata penjimatan dana dana RE berjumlah RM12.949 juta setahun manakala e-bida kedua mencatatkan penjimatan RM12.536 juta.

"Bahagian positif daripada e-bida di mana keseluruhan harga telah diturunkan telah membawa penjimatan kepada dana RE, yang kemudiannya digunakan untuk RE lain dan untuk mengeluarkan lebih banyak kuota,” katanya pada taklimat media mengenai peluang dan pencapaian RE di Malaysia, di sini, hari ini.  

Tarif efektif bagi purata e-bida biogas pertama ialah 40.55 sen manakala e-bida biogas kedua ialah 40.58 sen.

"Jika dibandingkan purata tarif ini dengan tarif sebelum e-bida iaitu pada 46.69 sen, kami merekodkan purata tarif yang rendah dan lebih murah dalam e-bida biogas pertama dan kedua,” katanya.

Bagi e-bida biogas pertama, asas tarif bida daripada 22.10 sen kepada 28.14 sen per kilowatt jam (kWh), manakala e-bida biogas kedua, asas tarif bida bagi pembida berjaya daripada  23.5 sen kepada 26.89 sen per kWh, katanya.

Susulan daripada ini, SEDA kata Wong, juga menjalankan e-bida pertama bagi hidro kecil dari 2 Sept hingga 23 Sept berikutan penjimatan yang dicatatkan dalam pembidaan biogas sebelum ini. 

"Jumlah pembida semasa bidaan ditutup adalah 19 pembida. Senarai pembida yang berjaya dijangka diumumkan pada pertengahan hingga lewat Disember tahun ini,” katanya sambil menambah jumlah kapasiti  bagi hidro kecil adalah 243.69 megawatt, yang mana 1.5 kali terlebih langgan kerana SEDA hanya mengeluarkan 160 megawatt kuota.

Mengulas mengenai Belanjawan 2020, Wong berkata kerajaan menerusi belanjawan itu telah memberikan rangsangan besar bagi industri tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.  

"Terutamanya dengan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau  (GITE) yang dilanjutkan ke 2023.

“Inilah apa yang diminta oleh industri dan ini penting terutamanya bagi usaha promosi SEDA terutamanya dalam tenaga solar dan panel solar di atas bumbung,” katanya.

Selain itu, Wong berkata insentif cukai bagi syarikat yang melaksanakan aktiviti pajakan solar dengan pengecualian cukai pendapatan 70 peratus hingga 10 tahun akan menggalakkan pemegang kepentingan dan pemain industri menawarkan harga yang kompetitif. 

Ia juga akan membantu Malaysia bergerak ke arah sasaran 20 peratus campuran kapasiti dipasang nasional RE menjelang 2025.

Jumlah RE pada akhir tahun lepas adalah enam peratus daripada campuran kapasiti dipasang nasional tidak termasuk hidro melebihi 100 megawatt.

-- BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]