Berita

Seminar MIDA dalam sektor minyak dan gas di 'Offshore Energy 2019 Amsterdam dapat sambutan baik



Oleh Manik Mehta

FRANKFURT, 15 Okt -- Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Frankfurt, mengambil bahagian dalam Energy Offshore 2019 di Amsterdam, sebuah pameran serta persidangan mengenai sektor minyak dan gas.

Berlangsung pada 8 dan 9 Okt, pameran ini menarik peserta global utama dalam industri minyak dan gas serta perniagaan.

Pengarah pejabat MIDA Frankfurt, Yusri Hasnan Chu, yang juga bertanggungjawab ke atas Belanda, memberitahu Bernama bahawa beliau dijemput untuk membentangkan peluang-peluang  pelaburan di sektor minyak dan gas Malaysia.

"Ia adalah inisiatif oleh MDBC (Majlis Perniagaan Belanda Malaysia) dan NLinBusiness (NLIB). Acara ini berlangsung di Pavilion Maritim NL. Saya berkongsi maklumat mengenai ekosistem segmen minyak dan gas yang meliputi aktiviti huluan, hiliran dan pertengahan," katanya.

Pengarah MIDA itu turut bercakap mengenai industri minyak dan gas huluan matang Malaysia.

"Malaysia kini mempunyai rizab O&G ketiga terbesar di Asia Tenggara," kata Yusri, menekankan bahawa Malaysia mempunyai industri minyak dan gas huluan yang matang.

Menurut pembentangan pengarah MIDA itu, industri minyak, gas dan tenaga (OGE) dalam dekad yang lepas menyumbang kira-kira satu perlima kepada KDNK Malaysia.

"Sektor ini berusaha untuk mencapai pertumbuhan tahunan 5 peratus hingga 2020," katanya, sambil menambah bahawa pengeluaran dijangka dilaksanakan di medan minyak yang lebih kompleks dan mencabar seperti air dalam, karbon dioksida yang tinggi, medan dengan hasil marginal selain meningkatkanusaha untuk membuat penemuan baharu minyak (EOR).

Pentingnya minyak dan gas dapat dilihat berdasarkan prospek global ke atas sektor ini.

"Minyak dan gas dijangka menyumbang 40 peratus kepada penjanaan kuasa menjelang 2050. Permintaan yang semakin meningkat ke atas gas asli cair di Asia dijangka berterusan, dengan permintaan India dijangkakan melepasi China. Satu lagi kesan penting pemerangkapan karbon dan pengasingan  atau CCS, adalah untuk digunakan di loji kuasa gas bagi mengurangkan pelepasan," kata Yusri.

Yusri juga berkata Malaysia menawarkan insentif khas kepada syarikat untuk pelaburan dalam peralatan dan mesin dalam sektor minyak dan gas.

Syarikat akan menikmati status perintis dengan pengecualian cukai pendapatan penuh sehingga 10 tahun, elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak, untuk tempoh lima tahun, bagi pengecualian cukai pendapatan.

Insentif juga disediakan untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih  komponen dan jentera.

Yusri juga sedang membuat persiapan lawatan delegasi yang diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking, ke Belanda dan Jerman pada minggu pertama November.

Pengarah MIDA itu juga mempelawa pelabur untuk menghadiri seminar anjuran bersamanya dengan MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada 5 Nov di Amsterdam, bagi meninjau peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia, yang merupakan pintu masuk ke ASEAN.

Malaysia, dengan lokasi strategiknya di tengah-tengah ASEAN dan Asia Tenggara, akan diketengahkan sebagai lokasi yang berdaya saing dari segi  kos bagi pelabur yang merancang menubuhkan operasi luar pesisir bagi mengeluarkan produk teknologi canggih untuk pasaran serantau dan antarabangsa.

"Kami mengalu-alukan lebih ramai pelabur dari Belanda untuk memanfaatkan kelebihan daya saing dan perbandingan negara kita, terutama dalam industri elektrik & elektronik, jentera & peralatan, bahan kimia, sains hayat dan kelengkapan pengangkutan," kata Yusri.

Ahli panel pada seminar itu akan memberikan maklumat terkini mengenai ekonomi serta peluang dan potensi pelaburan dan kerjasama antara syarikat Belanda dan Malaysia.

Dua syarikat Belanda, KMWE & Anza Zaden, akan berkongsi testimoni mereka menjalankan perniagaan di Malaysia.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]