Berita

Kurang tenaga kerja antara cabaran pertanian kelapa sawit di Malaysia



KUALA LUMPUR, 11 Okt  -- Kekurangan tenaga kerja, kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing, kawasan tanaman yang terhad merupakan antara cabaran yang dihadapi dalam subsektor pertanian kelapa sawit.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, pertanian kelapa sawit turut dipengaruhi oleh harga komoditi global yang tidak menentu serta dasar perlindungan yang dikenakan oleh pasaran utama.

“ Subsektor ini sangat berintensifkan buruh dengan penggunaan teknologi dan mekanisasi yang rendah terutamanya dalam penuaian dan pengumpulan buah tandan segar (FFB). Ia juga sangat bergantung kepada pekerja asing yang merangkumi hampir 77 peratus daripada 431,000 jumlah pekerja yang majoritinya berasal dari Indonesia (63 peratus), Nepal (19 peratus), Bangladesh (7 peratus), Filipina (lima peratus) dan India (empat peratus).

“Kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing menimbulkan masalah terhadap kemampanan dan kestabilan industri terutama semasa aktiviti menuai,” menurut laporan itu.

Pertanian kelapa sawit juga berdepan dengan masalah tanah yang terhad untuk peluasan tanaman pada masa hadapan berikutan penggunaan tanah yang meluas sebelum ini, selain kerajaan juga mahu mengehadkan kawasan tanaman kelapa sawit kepada 6.5 juta hektar menjelang 2023 dalam memastikan pemuliharaan hutan.

 “Sehubungan itu, banyak syarikat tempatan terutamanya syarikat berkaitan kerajaan mencari peluang pelaburan di negara lain seperti Brazil, Indonesia dan Papua New Guinea yang memiliki tanah yang luas dengan harga berpatutan serta mempunyai iklim dan jenis tanah yang sama,” menurut laporan itu.

Sementara itu, tanaman kelapa sawit di peringkat global berdepan pemerhatian intensif daripada aktivis alam sekitar dan pengguna berikutan tuduhan pembersihan tanah kurang terkawal yang menyebabkan kemusnahan hutan, meskipun tanaman itu hanya menggunakan 0.4 peratus daripada tanah pertanian global berbanding pengeluaran pertanian lain.

Selain itu, laporan itu menjelaskan sejak 2006 harga komoditi termasuk minyak sawit mentah mencatat volatiliti tinggi berikutan ketidaktentuan permintaan dan penawaran dunia yang menyebabkan kemerosotan pengeluaran.

Laporan itu bagaimanapun menjelaskan, meskipun berdepan masalah tanah terhad, hasil minyak sawit dapat dipertingkatkan melalui produktiviti yang lebih tinggi dengan penggunaan teknologi digital dan mekanisasi.

Menurut laporan berkenaan, selaras dengan kepentingan subsektor kelapa sawit kepada ekonomi, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan pengeluaran dan meluaskan pasaran minyak sawit termasuklah dengan memperkenalkan mekanisasi, mempelbagaikan pasaran eksport, menggalakkan penggunaan biodiesel dan mematuhi piawaian antarabangsa.

--BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]