Berita

Pensijilan MSPO amat penting kepada pengguna - Duta Perancis

Frederic Laplanche (File pix)

Laporan eksklusif oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) penting untuk memulihkan kepercayaan pengguna, termasuk di Kesatuan Eropah (EU), mengenai kemampanan minyak sawit dan rantaian pengeluarannya yang lebih mesra alam.

Duta Perancis ke Malaysia Frederic Laplanche berkata sekarang pengguna di seluruh EU berpandangan negatif terhadap minyak sawit kerana ia dilihat sebagai faktor penyumbang kepada penebangan hutan dan perubahan iklim.

"Pensijilan MSPO bukan hanya penting untuk mengawal selia pengeluaran di beberapa kawasan, tetapi juga kepada pengguna.

"Andaikan saya seorang (pengguna) yang tidak menyumbang kepada perubahan iklim (dan) penebangan hutan, sudah tentu pengguna hanya akan membeli produk yang mereka rasa sesuai, Jadi, pengesahan kemampanan sangat penting," katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, baru-baru ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan usaha Malaysia, menurutnya Perancis menyokong usaha untuk memperluaskan pensijilan kepada semua pengeluaran minyak sawit, mengehadkan pengembangan ladang di samping melindungi peratusan wilayah yang akan dikekalkan sebagai kawasan hutan.  

"Ini adalah elemen positif dalam dasar kerajaan Malaysia yang kami sokong," katanya.

Pensijilan MSPO, yang diperkenalkan pada 2015 bertujuan mengesahkan pengeluaran minyak sawit yang ditanam dan dihasilkan di Malaysia secara mampan, menjadi mandatori menjelang akhir 2019.

Estet kelapa sawit melebihi 40.47 hektar dan kilang sawit yang gagal mendapatkan pensijilan atau memulakan proses pensijilan pada 1 Jan 2020, akan didenda dan dikenakan tindakan. Gagal mematuhinya boleh didenda atau lesen digantung, dibatalkan atau tidak diperbaharui.

Sehingga 31 Ogos 2019, sebanyak 2,956,925 hektar atau 50.6 peratus daripada 5.85 juta hektar ladang kelapa sawit, termasuk pekebun kecil, telah dipersijilkan.

Sementara itu, sebanyak 288 buah kilang atau 64.29% daripada keseluruhan 448 buah kilang  juga telah berjaya dipersijilkan. 

Kerajaan Malaysia juga telah mengurangkan keluasan tanaman kelapa sawit kepada 6.5 juta hektar dan komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanahnya di bawah perlindungan hutan.

Laplanche berkata EU tidak mengharamkan minyak sawit dan akan terus membeli komoditi itu. .

"Apa sebenarnya yang sedang berlaku ialah beberapa subsidi di Eropah untuk minyak sawit sebagai biofuel akan beransur-ansur dihapuskan," jelasnya.

Namun, utusan itu memberi amaran walaupun EU tidak menarik subsidi, pasaran diesel juga akan semakin berkurangan apabila pengguna mendapati ia lebih menyumbang kepada masalah pencemaran. 

Minyak sawit kini digunakan sebagai biofuel dalam diesel.

"Pasaran diesel juga akan berkurangan, jadi saya fikir penting kepada pengeluar minyak sawit untuk menyedari hakikat ini," katanya.

 Import minyak sawit mentah EU sebelum ditukar kepada produk hiliran di hanya beberapa kilang penapisan di Eropah. 

Di Eropah, Perancis merupakan antara pengguna utama produk keluaran sawit iaitu biofuel dan industri makanan.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]