Berita

Sarawak akan hasilkan bateri untuk kenderaan elektrik, hibrid dan kenderaan cekap tenaga

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

KUCHING, 9 Okt  -- Sarawak akan mempunyai kilang pembuatan bateri untuk kenderaan elektrik, hibrid dan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang pertama yang akan memenuhi keperluan kedua-dua pasaran tempatan dan luar negara.

Cadangan kilang bernilai RM500 juta itu akan didirikan di Demak Laut di sini, ia adalah sebahagian daripada kerjasama antara Amalgamated Batteries Manufacturing (Sarawak) Sdn Bhd (ABM) dan Jujiang Power Technology Co. Ltd dari China.   

Timbalan Pengarah Urusan ABM Datuk Alan Tay Tze Poh berkata terdapat pasaran yang besar untuk bateri itu daripada pembuat kereta tempatan dan luar negara.

“Ia (kilang yang dicadangkan itu) masih di peringkat awal, akan terdapat banyak perbincangan antara kami untuk memuktamadkan perinciannya,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara dua syarikat itu di sini hari ini.

Pengerusi ABM Datuk Seri Tay Chin Kin dan rakan sejawatannya daripada Jujiang, Wang Dong menandatangani MoU itu, disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.  

ABM, yang ditubuhkan pada 1971, merupakan pengilang bateri automotif untuk pasaran tempatan dan eksport, merangkumi negara ASEAN, Taiwan, Australia, Timur Tengah dan negara Afrika.

Wang Dong dalam ucapannya berkata walaupun pelaburan yang dicadangkan hanya RM500 juta, mereka akan mengguna pakai teknologi tinggi untuk menghasilkan bateri itu.

“Saya percaya bahawa pelaburan ini hanyalah permulaan, terdapat banyak lagi projek daripada Jujiang pada masa akan datang,” katanya, dan menambah bahawa syarikat itu komited untuk menyumbang ke arah usaha sosial dan mewujudkan pekerjaan di negeri ini.

Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya berharap kedua-dua syarikat tidak hanya memberi tumpuan terhadap pembuatan tetapi juga perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan mengenai kitar semula bateri lithium-ion.

“Sarawak boleh menjadi makmal untuk kedua-dua syarikat menjalankan penyelidikan lithium, sama ada dikitar semula atau mengekstrak lithium daripada bateri lama dan digunakan untuk (menghasilkan) bateri lain. Mungkin anda juga boleh mencipta teknologi baharu, jadi dengan  itu bateri lithium-ion boleh kekal untuk digunakan bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]