Berita

PIKOM mahukan penjelasan mengenai pelaksanaan cukai digital

Ganesh Kumar Bangah (File pix)

Laporan eksklusif oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 4 Okt -- Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) mahu mendapatkan penjelasan daripada kerajaan sama ada industri itu akan dikenakan cukai digital, cukai pegangan atau kedua-duanya sekali menjelang 1 Januari, 2020.

Pengerusinya Ganesh Kumar Bangah berkata industri itu terutamanya perkhidmatan awan dan pengiklanan dalam talian akan menerima kesan sekiranya mereka tertakluk kepada pelaksanaan cukai digital, kerana cukai itu merupakan antara komponen kos terbesar kepada syarikat digital. 

“Bagaimanapun, tidak jelas sama ada aplikasi ini juga perlu membayar cukai pegangan selain cukai digital.

“Jika aplikasi ini dikenakan kedua-dua cukai, maka sejumlah 16 peratus cukai kerajaan akan dikenakan ke atas sebahagian daripada komponen kos terbesar syarikat digital kita, menjadikan industri tempatan kita tidak kompetitif,” katanya kepada Bernama.

Buat masa sekarang, katanya, industri itu berusaha untuk mendapatkan penjelasan mengenai cukai pegangan tetapi masih belum ada sebarang kepastian. 

“Apabila kami berbincang dengan pemain cukai tertentu, mereka berkata ia berada di bawah cukai pegangan, manakala yang lain berkata perkhidmatan akan berada di bawah cukai digital, dan yang lain berkata kedua-duanya sekali. Oleh itu, kita perlukan garis panduan yang jelas mengenainya sebelum cukai itu dilaksanakan. 

“Kita perlu menyelesaikannya dengan segera bagi memastikan tidak berlaku cukai berganda. Ini adalah untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang baik,” katanya. 

Ganesh berkata, PIKOM akan berbincang dengan pemain industri dan kementerian yang berkaitan mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat ini.

Di bawah cukai pegangan, syarikat-syarikat perlu membayar 10 peratus kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana menjalankan perniagaan di negara ini.  

Bermula 1 Januari, 2020, kerajaan mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan cukai digital sebanyak enam peratus.

Selain cukai, Ganesh juga mencadangkan satu kementerian khusus untuk menangani industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).  

“Satu daripada alasan industri kita berdepan dengan isu-isu ini adalah kerana teknologi kini adalah penggerak kepada semua industri dan bukan hanya industri itu sendiri. 

“PIKOM sebagai persatuan yang mewakili industri teknologi berurusan dengan lima kementerian berbeza yang kadang-kadang bertindih antara satu sama lain,” katanya. 

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]