Berita

Malaysia sasar RM10 bilion nilai perdagangan, pelaburan pada Ekspo 2020 Dubai



KUALA LUMPUR, 1 Okt  -- Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melancarkan konsep “Kanopi Hutan Hujan” dan reka bentuk untuk Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai dengan menyasarkan RM10 bilion nilai perdagangan dan pelaburan .

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata ekspo itu, bertemakan “Connecting Minds, Creating the Future”, juga menyasarkan 1,000 peneraju perniagaan dan 20 Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian dan akan berlangsung selama enam bulan, bermula Oktober tahun depan.

"Memandangkan kami menyasarkan jumlah besar untuk Ekspo 2020 Dubai, landskap Kanopi Hutan Hujan Pavilion Malaysia yang terdiri daripada unsur-unsur yang berbeza adalah yang terbaik untuk menampilkan egara kita dan hutan hujannya.

"Untuk itu, dari 16 penyertaan Hijjas Architects and Planners berjaya memenuhi objektif keseluruhan menggambarkan Malaysia secara komprehensif dengan menerapkan elemen alam semulajadi yang menghasilkan reka bentuk futuristik," katanya kepada pemberita di Expo 2020 Dubai: Pengumuman Rasmi Konsep dan Reka Bentuk Pavilion Malaysia, di sini, hari ini.

Dengan keluasan 1,700 meter persegi dan dapat menampung 200 ruang pameran, Kanopi Hutan Hujan merangkumi empat segmen - Energising Today, Energising Tomorrow, Energising Harmony dan Energising Business, yang membolehkan rakyat Malaysia menampilkan yang terbaik mengenai negara dari segi budaya, layanan mesra, biodiversiti hutan hujan dan prospek perniagaan. 

Beliau berkata, kementerian akan menumpukan usaha dalam membangunkan konten dan program Pavilion kerana Ekspo dijangka menerima 25 juta pengunjung dan 192 negara peserta, sambil menambah bahawa 25 gerai akan digilirkan setiap empat hingga lapan minggu, bergantung kepada jadual ekspo.

"Untuk menjadikan Pavilion Malaysia sebagai lokasi yang mesti dilawati di Expo, kami telah membahagikan program kepada enam kelompok merangkumi 10 industri seperti sains, teknologi, pendidikan, pertanian dan IR 4.0. Buat masa ini, 18 kementerian dan 50 peneraju syarikat telah mengesahkan penyertaan dan komitmen mereka untuk menerajui bidang-bidang tertentu, "katanya.

Beliau menambah, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah memperuntukkan sejumlah RM200,000 untuk syarikat-syarikat yang mengambil bahagian, dengan geran dibayar balik sehingga RM15,000 untuk pemohon yang berjaya termasuk perusahaan kecil dan sederhana, badan perdagangan atau penyedia perkhidmatan profesional, yang terlibat dalam aktiviti promosi esport antarabangsa.

Sementara itu, pengarah Hijjas Architects and Planners, Serina Hijjas berkata, mereka menggunapakai pendekatan moden, menggabungkan tenaga solar, dan bahan-bahan bersumber dari bahan-bahan mampan, untuk mempromosikan bangunan yang mesra alam untuk masa depan yang lestari dan mesra iklim.

-- BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]