Berita

CIMB Bank lancarkan teknologi boleh baharu untuk PKS



KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd melancarkan kemudahan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membeli dan memasang kelengkapan berkaitan teknologi tenaga boleh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kemudahan tanpa had saiz itu ialah sebahagian daripada terbitan Bon Matlamat Pembangunan Mampan Formosa & Reg S (Bon SDG) bernilai US$680-juta (RM2.85 billion) bank itu, baru-baru ini.

Bon itu diterbitkan untuk membiayai projek berkaitan matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami melancarkannya hari ini sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan syarikat mengambil berat berhubung agenda kemampanan, selain menjadikannya lebih bersifat komersial untuk mereka.

“Ia merupakan kemudahan 100 peratus dan kami akan melihat (permohonan) berasaskan kes selagi ia memenuhi keperluan,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak CIMB: Kemampanan Bumi Yang Lebih Dingin di sini hari ini.

Kemudahan pembiayaan itu turut dilancarkan bersempena program tersebut.

Sementara itu, Zafrul berharap kerajaan akan menyediakan beberapa insentif cukai pada pembentangan Belanjawan 2020, khususnya kepada syarikat yang menyumbang dan meraih kewangan ke arah inisiatif kemampanan.

“Sebarang pengurangan (cukai) akan menggalakkan pelaburan selanjutnya dalam sektor ini.

“Sepertimana yang kami lakukan, saya berharap bank-bank lain akan turut melakukannya memandangkan kami cuba merendahkan kos pinjaman yang melibatkan program-program kemampanan,” katanya.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Okt ini.

Dalam satu kenyataan, CIMB Bank berkata pihaknya telah memperuntukkan RM100 juta bagi program Pembiayaan Tenaga Boleh Baharu.

Satu daripada inisiatif di bawah program itu ialah menyediakan pembiayaan 100 peratus kepada PKS lebih kecil untuk membiayai kos sistem solar fotovoltan (PV) dan pemasangan di premis terbabit.

Inisiatif pembiayaan itu menawarkan pakej serendah RM20,000 dan sehingga RM1 juta bagi menyokong skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

Bagaimanapun, PKS perlu mendapat kelulusan NEM daripada SEDA terlebih dahulu untuk melayakkan Pembiayaan Tenaga Boleh Baharu CIMB.

Inisiatif pembiayaan itu menawarkan penyelesaian praktikal bagi membolehkan PKS mikro atau kecil membeli sistem solar PV untuk menjimatkan bil elektrik dan menyumbang kepada kesejahteraan dunia, menurut CIMB.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]