Berita

Solarvest mahu kumpul RM34.6 juta daripada IPO

KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Pakar sistem solar fotovolta (solar PV) yang akan diseranaikan di Pasaran ACE, Solarvest Holdings Bhd mahu mengumpulkan RM34.6 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 26 November 2019 bagi pengembangan domestik dan antarabangsa. 

Pada pelancaran prospektus kumpulan itu di sini hari ini, Solarvest berkata, IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 98.83 juta saham baharu, mewakili 25.3 peratus modal saham yang diperbesarkan pada harga terbitan 35 sen sesaham. 

"Selepas disenaraikan di Pasaran ACE, Solarvest akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM 136.7 juta berdasarkan kepada harga terbitan 35 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 390.6 juta saham," kata syarikat itu dalam prospektusnya.

Menurut prospektus itu, daripada RM34.6 juta yang dijangka akan dikumpulkan daripada IPO, sejumlah RM9.2 juta, atau 55.5 peratus akan digunakan sebagai modal kerja kumpulan untuk tujuan operasi harian dan projek-projek akan datang.

"Sebanyak RM3.0 juta atau 8.7 peratus akan dipakai bagi pengembangan geografi di pasaran domestik dan antarabangsa.

"Di peringkat domestik, kumpulan akan meneruskan peluang perniagaan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, manakala di luar Malaysia, syarikat merancang untuk memasuki pasaran baharu seperti Vietnam serta Taiwan," katanya lagi.

Lebih kurang RM4 juta atau 11.5 peratus akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan teknikal termasuk memperolehi jentera dan peralatan projek baharu serta menaik taraf perisian dan perkakasan teknologi maklumat.

"Manakala RM5.0 juta atau 14.5 peratus daripada hasil IPO akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank dan RM 3.4 juta atau 9.8 peratus untuk perbelanjaan penyenaraian," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Davis Chong dalam satu sidang media selepas itu, ketika ditanya sama ada syarikat akan memasuki pasaran Vietnam dan Taiwan, menjelaskan bahawa tidak ada sebarang jadual tertentu memandangkan pengembangan di luar negara merupakan satu pelan jangka panjang yang mengambil masa antara lima hingga 10 tahun akan datang.

"Kami masih meneroka peluang dan belum mengesahkan sesiapa lagi (rakan kongsi) tetapi kami merancang untuk bekerjasama dengan warga tempatan di sana (Vietnam dan Taiwan)," katanya sambil menambah bahawa buat masa sekarang, fokus utama masih merupakan pasaran dalam negeri yang menjadi punca pendapatan yang kukuh atau tempahan dalam tangan sebanyak RM200 juta kepada syarikat. 

Chong berkata, tempahan dalam tangan syarikat mampu kekal sehingga 12 bulan akan datang, dengan sebahagian daripadanya akan diiktiraf dengan penuh pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020.

Menurut prospektusnya lagi, pendapatan Solarvest melonjak sebanyak RM112.2 juta pada tahun kewangan 2019 daripada RM45.07 juta yang direkodkan dalam tahun kewangan 2018, manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM11.12 juta daripada RM8.24 juta.

Solarvest menyediakan perkhidmatan kejuruteraan siap guna, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk sistem PV. 

Ia telah membangunkan sistem solar PV untuk loji solar fotovolta solar berskala besar (LSSPV) termasuk hartanah kediaman, komersil dan perindustrian.

Syarikat tersebut dimiliki sebanyak 55 peratus oleh AB Holdings dan 45 peratus oleh Chin Hin Group Bhd, sebuah syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama.

Susulan penjualan saham awam, pegangan saham mereka, masing-masing berkurangan kepada 41.1 peratus dan 33.6 peratus.

Sementara itu, Menteri Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin semasa berucap pada majlis pelancaran prospektus itu telah menggalakkan Solarvest untuk merebut peluang bagi membida projek solar atas bumbung bertenaga 500 Megawatt (MW) di Malaysia. 

"Sekarang ini, hanya 100 MW daripada projek itu telah diambil dan masih terdapat peluang pelaburan 400 MW yang bernilai kira-kira RM2 bilion lagi," katanya.

Pada Februari tahun ini, Kementerian Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengumumkan tender untuk projek solar bertenaga 500 MW di Semenanjung Malaysia. 

Tender untuk Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar Pusingan Ketiga adalah pusingan ketiga dalam program perolehan PV berskala besar di negara ini.

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]