Berita

Petronas gesa perkongsian progresif sokong pasaran LNG lestari

Wan Zulkiflee Wan Ariffin

KUALA  LUMPUR, 28 Sept -- Petronas menggesa perkongsian progresif dalam kalangan peserta industri untuk menyokong gas asli cecair (LNG) sebagai sumber tenaga bersih pilihan bagi tempoh jangka panjang. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata kini merupakan tempoh kritikal bagi pemain industri untuk saling bekerjasama mendepani cabaran daripada perubahan dinamik pasaran, tingkah laku pelanggan dan peningkatan kawal selia dan komitmen dasar termasuk teknologi dan inovasi, yang boleh mengganggu pertumbuhan pasaran LNG. 

“Sebagai bahan api yang yang mesra alam dan mempunyai simpanan yang besar, LNG berkedudukan baik untuk memainkan peranan penting bagi memenuhi aspirasi global bagi tenaga yang lestari, mampu milik dan selamat. 

“Meskipun LNG mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, industri perlu berhati-hati. Kejayaan industri kita bergantung kepada tindakan konkrit dan bersepadu oleh semua pemegang kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berucap semasa Persidangan Pengeluar-Pengguna LNG 2019 di Tokyo, Jepun, baru-baru ini, Wan Zulkiflee menekankan kepentingan untuk menyokong LNG dan mewujudkan permintaan baharu. 

“Memandangkan setiap pusat permintaan, terutamanya pasaran sedang pesat membangun, memiliki kriteria uniknya sendiri, pemain industri perlu bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membangunkan penyelesaian sesuai-bagi-tujuan, mencerminkan tanggungjawab bersama dalam menjadikan LNG mudah didapatkan dan diakses,” katanya.

Beliau juga mengetengahkan bahawa perkongsian dalam seluruh rantaian nilai telah membuka peluang kerjasama baharu serta meningkatkan interaksi dalam kalangan semua pemegang kepentingan. 

Memandangkan industri LNG yang bersifat jangka panjang, peningkatan interaksi dalam kalangan pemegang kepentingan akan memudahkan pelarasan standard dan garis panduan seperti protokol pelabuhan dan peraturan keselamatan bagi perkhidmatan pengisian LNG. 

Wan Zulkiflee berkata, Petronas, yang menjadi pemain jangka panjang, komited untuk membuat pelaburan besar bagi memanfaatkan potensi LNG dalam memastikan persekitaran lebih bersih bagi generasi akan datang. 

Petronas, yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dengan lebih daripada 10,000 kargo selamat dihantar ke seluruh dunia, mampu untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif dan unggul menerusi penyelesaian LNG kreatifnya dan keupayaan dagangan seperti punggahan muatan individu kapal ke kapal, perkhidmatan pengisian LNG dan Sistem Saluran Paip Maya menerusi Isotanks untuk mengangkut LNG.

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]