Berita

MPOB sahkan ladang di Kuala Koh imemenuhi semua kriteria MPSO

Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

KUALA LUMPUR, 27 Sept -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengesahkan hanya terdapat satu syarikat yang memiliki ladang kelapa sawit di Kuala Koh dan ia turut menerima pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), selain memenuhi semua kriteria di bawah skim tersebut.

Menurut Ketua Pengarah, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berdasarkan kepada rekod dan maklumat, ladang itu berkeluasan 196 hektar dan kelapa sawit ditanam di kawasan hutan bekas pembalakan.

"Penanaman kelapa sawit telah menyediakan aktiviti sosio-ekonomi termasuk peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar.

"Di bawah sistem persijilan kami, yang memakai Amalan Pertanian Terbaik (GAP), ladang berkenaan juga perlu mematuhi (garis panduan) pengurusan kimia dan sisa, oleh itu, operasi perladangan tidak akan menjejaskan sungai dan kawasan air di sekitarnya," kata beliau dalam satu kenyataan. 

Kenyataan hari ini diterbitkan selepas laporan berita baru-baru ini yang menunding bahawa perladangan kelapa sawit menjadi penyumbang kepada penyakit yang membawa kepada beberapa kematian Orang Asli di kalangan puak Bateq yang tinggal dalam petempatan Kuala Koh, Mei lepas.

Ladang itu telah memperolehi pensijilan MSPO pada 8 Julai 2019 dan telah menjalani proses pengauditan pada awal tahun ini.

"Industri minyak sawit Malaysia telah merekodkan beberapa amalan terbaik yang didokumenkan berbanding mana-mana industri tempatan bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

"Setiap kawasan kelapa sawit yang ditanam adalah diselia rapi dan tertakluk kepada beberapa perundangan kerajaan, termasuk bahawa semua ladang kelapa sawit dan pekebun kecil di tanah pertanian yang sah tidak akan menjejaskan serta menebang hutan hujan yang amat berharga bagi negara ini," katanya.

Antara perundangan alam sekitar utama yang mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap pemuliharaan persekitarannya adalah seperti Akta Pemuliharaan Tanah 1960, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Akta Racun Perosak 1974, Akta Taman Negara 1984 dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1986.

Malaysia juga menandatangani Konvensyen Kepelbagaian Biologi 1992, Perjanjian Kayu Tropika Antarabangsa dan Piagam Orang Asli – Suku Kaum Hutan Tropika. 

"Ini mewujudkan suatu industri yang amat mematuhi dan berusaha keras untuk mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar di samping melindungi hak rakyat pribumi termasuk hidupan liar di hutan hujan Malaysia," katanya. 

Malaysia telah menerapkan beberapa dasar penting bagi memastikan penanaman kelapa sawit yang mampan, termasuk mengurangkan keluasan penanaman kelapa sawit kepada 6.5 juta hektar, menghentikan penanaman kelapa sawit di kawasan tanah gambut dan memperkasakan lagi, peraturan berkenaan penanaman kelapa sawit sedia ada di tanah bergambut.

Negara ini juga telah mengharamkan penukaran kawasan hutan simpan untuk penanaman kelapa sawit dan membuat ikrar bagi membuka capaian awam ke atas peta kawasan penanaman kelapa sawit.

Ia juda komited bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan hutan.

Beliau menjelaskan sehingga 2017, Malaysia mempunyai 55.6 peratus daripada 33 juta hektar kawasan yang masih di bawah perlindungan hutan.

Selama bertahun-tahun juga, Malaysia melaksanakan komitmen yang berkaitan dengan kelestarian, mengurangkan pelepasan karbon dioksida serta mengamalkan amalan pertanian yang menjurus kepada pemuliharaaan hutan hujan, hidupan liar dan biodiversiti, katanya.

"Pengeluar minyak sawit Malaysia, dengan kerjasama kerajaan, juga telah mempamerkan komitmen yang kukuh kepada teknik tanam semula tanpa pembakaran, melindungi spesies seperti orang utan serta pensijilan minyak sawit daripada ladang berlesen yang diiktiraf.

"Sebagai tanaman pokok saka yang ditanam di kawasan tropika, terdapat lebih banyak biodiversiti di dalam kawasan ladang kelapa sawit berbanding ladang bijirin, sayuran dan sistem tanaman jangka pendek lain di dunia," kata Ahmad Parveez. 

Ladang kelapa sawit yang tipikal, biasanya mempunyai spesies flora dan fauna, termasuk mikrob, serangga, artropod, reptilia, ikan, burung serta mamalia kecil.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]