NEW YORK, 27 Sept (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk penyenaraian satu daripada anak syarikat Petronas untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih menarik.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Petronas Carigali ialah satu daripada calonnya, dan menurutnya juga terdapat kemungkinan lain.
"Pada ketika ini kami berpendapat menjual saham Petronas tidak akan membawa kebaikan kepada kerajaan kerana kerajaan perlukan Petronas untuk membantu kerajaan," katanya dan menurutnya perkara itu mungkin dipertimbangkan kemudian.
"Tetapi apa yang kami telah persetujui adalah untuk melihat kepada anak-anak syarikat. Kami mungkin jual saham anak syarikat kerana ia tidak akan menjejaskan Petronas dengan banyak. Satu daripadanya ialah Carigali tetapi terdapat juga beberapa yang lain," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian pada sesi dialog dengan pengurus dana di ibu pejabat JP Morgan di sini pada Khamis. Perdana menteri berada di sini untuk menghadiri Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ketika ditanya sama ada Khazanah Nasional Berhad akan terus digalakkan untuk menjual sahamnya dalam syarikat berkaitan kerajaan, beliau berkata: "Terdapat kawalan ke atas industri tertentu tetapi soal pembabitan kerajaan dalam perniagaan, kami sentiasa percaya bahawa kerajaan tidak patut terbabit dalam perniagaan. Kami tidak bagus dalam perkara itu."
Dr Mahathir berkata adalah lebih baik untuk perniagaan dijalankan oleh ahli perniagaan.
"Ini masih menjadi dasar kami dan kami menjual banyak syarikat milik Khazanah," katanya dan menurutnya syarikat yang mencatatkan pulangan baik tidak sewenangnya akan djual.
Berhubung pembayaran royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak, Dr Mahathir berkata kerajaan kini sedar bahawa pemberian 20 peratus kepada kedua-dua negeri itu adalah bermakna Petronas tidak lagi menjadi syarikat minyak antarabangsa sepertimana sebelumnya.
"Jadi kami merayu kepada kerajaan Sabah dan Sarawak bahawa ia benar-benar tidak boleh berjaya," katanya dan mengambil perhatian bahawa kedua-dua negeri juga amat prihatin.
"Mereka tidak mahu membunuh Petronas tetapi pada masa yang sama mereka mahu lebih banyak wang, jadi kami sedang cuba mencari jalan penyelesaian tentang bagaimana kami boleh berikan lebih banyak wang tanpa menjejaskan kekuatan Petronas sendiri," kata Dr Mahathir.
Mengenai Belanjawan 2020, Dr Mahathir berkata ia akan mencerminkan matlamat kerajaan di bawah Visi Kemakmuran Bersama.
"Kami mahu kemakmuran bersama antara bandar dan negara, antara negeri dan negeri, antara kaum berbeza dan antara yang kaya dan miskin," katanya.
Beliau berkata jurang perlu dirapatkan dan ini perlu dicerminkan dalam belanjawan akan datang.
"Ini bermakna sudah tentu kami akan beri kurang sedikit kepada yang lebih makmur dan lebih banyak kepada yang kurang makmur," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]