Berita

Sabah harap belanjawan 2020 sentuh tuntutan royalti minyak - Mohd Shafie



KOTA KINABALU, 23 Sept  -- Kerajaan negeri Sabah berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada bulan depan akan menyentuh tuntutan royaliti minyak sebanyak 20 peratus.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah, antara negeri pengeluar minyak dan gas negara, memerlukan dana untuk membangunkan prasarana untuk rakyat.

"Kita sedar dan tahu kekangan kewangan di peringkat pusat tetapi dalam pada itu kita perlukan kewangan untuk membangunkan negeri Sabah.

"Harapan kita ialah bukan hanya yang telah kita bincangkan berhubung kait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan direalisasikan tetapi (royalti) minyak juga harus dilihat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pejabat Sabah Shell Petroleum Company Limited di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas harapan Sabah terhadap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober ini.

Mohd Shafie berkata hasil sektor minyak dan gas menjadi antara isu ketika dan selepas pilihan raya.

"Ia menjadi isu yang dilontarkan oleh masyarakat tentang bagaimana minyak yang merupakan hasil dari Sabah tetapi perolehan tidak sebanyak itu.

"Kita kena memahami keadaan ini. Jadi  harapan saya dan sudah saya maklumkan kepada Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) tentang perkara ini dan menjadi harapan kita usaha ini dapat dijayakan," katanya.

Mengenai lawatannya ke Pejabat Sabah Shell Petroleum Limited di sini, Mohd Shafie berkata bagi merapatkan kerjasama dengan Shell, antara syarikat petroleum yang ada di Sabah.

Menurutnya kerajaan negeri mahu memanfaatkan sektor yang ada dan meningkatkannya lagi untuk kebaikan negeri.

"Syarikat yang melabur di negeri ini perlu merealisiasikan keuntungan mereka dan memastikan mereka boleh berada di sini bukan sahaja untuk melabur malah memberi pekerjaan kepada anak-anak Malaysia termasuk Sabah," kata Mohd Shafie.

-- BERNAMA


 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]