PUTRAJAYA, 23 Sept -- Malaysia mengamalkan beberapa dasar penting untuk memastikan penanaman sawit yang mampan, termasuk mengehadkan jumlah kawasan tanaman kepada 6.5 juta hektar, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.
Beliau berkata dasar itu termasuk menghentikan penanaman sawit di kawasan tanah gambut dan mengetatkan pengawalseliaan berkaitan penanaman sawit di kawasan tanah gambut sedia ada.
“Kami juga menyekat penukaran status kawasan rizab hutan kepada penanaman sawit di samping berjanji menjadikan peta kawasan perladangan sawit boleh diakses orang awam,” katanya ketika berucap di Program Suai Kenal Minyak Sawit (POFP) ke-39 di sini, hari ini
Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh.
Kok berkata kesemua dasar itu menunjukkan komitmen dan tindakan serius Malaysia untuk membuktikan industri sawit adalah mampan, mematuhi keperluan antarabangsa dan piawaian nasional bagi menghentikan persepsi negatif terhadap minyak sawit.
Beliau berkata Malaysia sentiasa mengamalkan amalan pertanian baik, termasuk penilaian terhadap kesan alam sekitar dalam pembangunan serta operasi industri minyak sawit.
“Kita komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan di negara ini dilitupi hutan dan kehijauan. Angka terkini menunjukkan 55.6 peratus daripada 33 juta hektar kawasan tanah Malaysia dilitupi hutan setakat pada 2017,” katanya.
POFP 2019, yang dihadiri 34 peserta dari 19 negara, merupakan anjuran MPOB serta disokong Program Kerjasama Teknikal Malaysia di bawah Kementerian Luar.
Objektif POFP adalah menyesuaikan dan mendedahkan peserta kepada keseluruhan spektrum industri minyak sawit di Malaysia.
Ia termasuk pembangunan dan kemajuan semasa bagi komponen utama industri ini, iaitu huluan, pertengahan dan hiliran.
Sebanyak 1,274 peserta dari 100 negara telah menyertai dan memperoleh manfaat daripada program ini yang dianjurkan sejak 1982.
Kok berharap para peserta akan menjadi ‘duta’ minyak sawit dengan menyebar luas kebaikan minyak sawit di negara masing-masing.
Pada acara itu, sisipan berjudul ‘Plus’ yang mengetengahkan artikel dan wawancara mengenai kelebihan minyak sawit serta menampilkan berita muka hadapan mengenai Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dilancarkan.
Plus, merupakan sebahagian rancangan komunikasi MPOB, diterbitkan dalam tiga bahasa -- Melayu, Inggeris dan Cina -- dan dilancarkan sempena Hari Jantung Sedunia pada 29 Sept.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2025 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]