Berita

MTJA beri US$2 juta kepada Malaysia & Thailand bagi R&D petroleum

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 20 Sept -- Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA) akan menyediakan peruntukan sebanyak US$2 juta kepada setiap kerajaan untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam aktiviti petroleum bagi Kawasan Pembangunan Bersama (JDA). 

Ini diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk meraikan 40 tahun kerjasama yang berjaya antara Malaysia dan Thailand.

Beliau berkata kerjasama melalui MTJA telah memberi manfaat kepada Malaysia dan Thailand, termasuk dalam mewujudkan pekerjaan dan peluang, pertumbuhan industri sokongan dan sumbangan kepada bekalan tenaga kedua-dua negara.

“Kejayaan MTJA dalam menjana perolehan untuk kedua-dua negara adalah 5.0 TSCF (trilion kaki padu standard) gas telah dihasilkan sejak gas pertama dijana pada 2005.

“Pada separuh pertama 2019, sebanyak US$10.1 bilion telah disalurkan ke Malaysia dan Thailand, dengan setiap negara menerima US$5.05 bilion.

“Saya dengan sukacitanya menyatakan bahawa MTJA akan menyediakan peruntukan sebanyak US$2 juta (setiap satu) kepada kedua-dua kerajaan. 

“Kami percaya kedua-dua negara akan meneruskan legasi MTJA untuk manfaat generasi masa depan,” katanya pada ulang tahun ke-40 penubuhan MTJA bertemakan “40 Tahun Kemakmuran Bersama” di sini, malam ini.

Secara purata, pengeluaran gas JDA yang memasuki Semenanjung Malaysia melalui sistem Penggunaan Gas Semenanjung menyumbang kira-kira 9.0 hingga 10 peratus daripada jumlah purata pengeluaran gas tahunan Malaysia.

Turut hadir Menteri Tenaga Thailand Sonthirat Sontijirawong, Pengerusi Bersama Malaysia MTJA Tan Sri Dr Rahamat Bivi Yusoff, Pengerusi Bersama Thailand MTJA Dr Kurujit Nakornthap, Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel dan Duta Thailand ke Malaysia Narong Sasitorn.

MTJA, sebuah badan bersama yang mengambil semua hak dan tanggungjawab bagi pihak kerajaan Malaysia dan Thailand, meneroka dan mengeksploitasi sumber hidrokarbon di Kawasan Pembangunan Bersama di Narathiwat dan Kota Bharu untuk kepentingan utama kedua-dua negara.

Pada 21 Feb, 1979, bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Hussien Onn dan bekas Perdana Menteri Thailand Jeneral Kriengsak Chomanan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Chiang Mai untuk menubuhkan pihak berkuasa bersama itu.

Sementara itu, Azmin berkata MTJA memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan Malaysia, yang secara langsung menyumbang kepada kekayaan dan kemakmuran rakyat.

“Dengan sambutan pada malam ini, saya ingin memperbaharui komitmen Malaysia untuk terus mengukuhkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand untuk meneruskan usaha kami ke arah matlamat MoU MTJA,” katanya.

Azmin turut memuji MTJA atas usahanya memudahkan R&D oleh universiti Malaysia dan Thailand dalam bidang sains dan teknologi berkaitan penerokaan dan eksploitasi petroleum dan sumber asli untuk JDA.

“MTJA dianggap sebagai antara pihak berkuasa bersama yang berjaya dan progresif berkaitan penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak dan gas berikutan penemuan dan pengeluaran komersial hingga kini," katanya.

Thailand merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam ASEAN. Perdagangan dua hala berkembang kukuh mencapai US$26.2 bilion pada 2018, meningkat 14.2 peratus berbanding 2017.

Dari segi pelaburan, sehingga akhir Jun lepas, aliran masuk pelaburan langsung asing bersih dari Thailand berjumlah US$ 534.6 juta, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

Thailand merupakan destinasi pelaburan utama bagi syarikat Malaysia dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan dengan jumlah aliran keluar pelaburan langsung di luar negara sebanyak US$2.5 bilion dalam tempoh sama.

Dalam ucapan, Sonthirat berkata penubuhan MTJA sentiasa dirujuk sebagai model kerjasama antarabangsa yang unik dan kisah kejayaan pertama mengenai pembangunan bersama sumber petroleum di kawasan ‘overlapping-continental-shelf-claimed’.

“Pencapaian yang membanggakan MTJA bukan sahaja membawa manfaat kewangan yang sama kepada kedua-dua kerajaan, tetapi juga keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi bersama kepada kedua-dua negara daripada pengeluaran gas asli dari JDA,” katanya.

Sonthirat berharap MTJA dapat menjadi model kepada penyelesaian pertikaian, untuk penyelesaian yang aman dan hasil yang berjaya.

“Saya percaya abad ke-21 akan terus menjadi abad penyelesaian persempadanan maritim. 

“Teluk Thailand dan Laut China Selatan, secara keseluruhan, dikategorikan sebagai kawasan tuntutan bertindih. Dalam kes Malaysia dan Thailand, saya amat gembira kita memutuskan untuk menyelesaikan tuntutan sempadan dengan baik melalui rundingan dan perbincangan diplomatik. 

 “MTJA boleh menjadi contoh yang baik kepada negara lain, dengan masalah sama mengenai tuntutan bertindih,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]