Berita

NAP 2019 dilaksanakan secara tiga fasa sehingga 2030



Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 16 Sept  – Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 yang bakal diumumkan kelak, akan dilaksanakan secara tiga fasa sehingga tahun 2030 dengan turut menekankan usaha menjadikan Malaysia sebagai pengeluar kenderaan hibrid dan cekap tenaga (EEV).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari berkata pelaksanaan fasa pertama sehingga 2023-2024 akan turut meliputi kesinambungan pelaksanaan NAP 2014 sebelum ini.

“Fasa pertama NAP 2019 akan memberi penekanan kepada penambahbaikan dasar-dasar polisi dengan teknologi baharu termasuklah dari segi modal insan dan kecekapan tenaga pekerja.

“Pada masa sama, kita akan turut menggabungkan elemen-elemen lain yang boleh diterapkan dalam usaha menjadikan Malaysia pengeluar kenderaan hybrid serta kenderaan EEV,” katanya kepada Bernama.

Madani berkata ini termasuk elemen seperti pengeluaran bateri, sistem pengurusan, stesen pengecas dan yang berkaitan manakala fasa berikutnya akan menitikberatkan aspek terkini seperti teknologi 5G.

Sejajar usaha itu, kata beliau, NAP 2019 juga bakal menyaksikan MARii mengubah fokus EEV kepada kenderaan generasi baharu atau NxGV.

 

Tumpu Kenderaan NxGV 

 

Laporan media sebelum ini menyatakan definisi NxGV dalam NAP 2019 dijangka siap seawal 2022 dan pelaksanaannya bermula pada 2025.

Beliau berkata perbezaan kenderaan EEV dan kenderaan NxGV adalah elemen kesalinghubungan atau ‘connectivity’ bagi menyuntik pengalaman pemanduan dalam kenderaan yang turut ditambah nilai dengan aspek lain.

Malah, penggunaan ciri kecerdasan buatan (AI) dalam kenderaan NxGV juga dapat menjana sektor baharu seperti perkhidmatan mobiliti manakala penggunaan AI akan mendorong kepada pemanduan lebih selamat, cekap serta berprestasi tinggi.

“Aspek mobiliti sebagai satu perkhidmatan itu adalah sektor baharu yang tidak boleh diketepikan. Berikutan itu, ia memerlukan banyak aspek pengaturcaraan, IoT atau internet pelbagai benda dan yang berkaitan,” katanya.

Mobiliti sebagai satu perkhidmatan itu merujuk kepada usaha beralih daripada mod pengangkutan milikan sendiri kepada penyelesaian mudah alih, termasuk menggabungkan perkhidmatan penyedia pengangkutan awam dan swasta menerusi satu platform yang mengurus perjalanan dan membolehkan pengguna membayar perkhidmatan itu secara tunai atau dalam talian.

Madani berkata seperti dinyatakan oleh ahli teknologi, industri automotif merupakan ‘induk atau teras segala industri’ kerana melibatkan sektor-sektor mekanikal, elektronik, kejuruteraan, kimia dan teknologi terkini.

“Atas alasan itulah kami amat maklum dan memahami hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad agar Malaysia memiliki kereta nasional (ketiga) baharu. Ini semua bagi memastikan industri automotif dapat memanfaatkan semua limpahan aktiviti ini,” katanya.

 

Definisi Kereta Nasional Baharu 

 

Pada bulan lepas, Dr Mahathir berkata kereta nasional ketiga sewajarnya memiliki ciri-ciri hibrid yang mana pengeluar perlu beralih daripada enjin berasaskan petrol kepada hibrid serta elektrik.

Berikutan itu, NAP 2019 buat pertama kalinya meletakkan definisi kereta nasional dengan sasaran menjadikan teknologi dan kejuruteraan sebagai asas untuk lebih membangunkan negara, kata Madani.

“Menerusi NAP 2019, kita telah membuat definisi kereta nasional yang akan melibatkan enam kriteria iaitu majoriti atau pemegang utama ekuiti adalah rakyat Malaysia dan pendanaan oleh pihak swasta serta menggunakan 75 peratus bekalan rantaian domestik.

“Kriteria lain adalah ia perlu menggunakan 98 peratus pekerja tempatan, syarikat terlibat (di dalam projek) membuat penyelidikan dan pembangunan di Malaysia, mengambil langkah-langkah susulan kenderaan NxGV sebagai satu perkhidmatan serta penggunanaan revolusi perindustrian 4.0” katanya.

Menurutnya, kriteria berkenaan terpakai kepada pengeluar kereta nasional sedia ada dan kereta nasional baharu yang sedang dalam peringkat pembangunan.

Beliau juga menyifatkan, kehadiran kereta nasional baharu itu akan lebih merancakkan perniagaan dalam kalangan vendor-vendor tempatan.

“Dalam sebuah kereta terdapat lebih 30,000 komponen dan 80 peratus daripadanya dibekalkan oleh vendor. Oleh itu, kereta nasional baharu ini bukan sahaja menambah nilai kepada kepakaran bidang ini malah turut membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan,” katanya.

 

Prestasi NAP 2014

Antara teras dan strategi NAP 2014 adalah sebagai persediaan untuk kalangan pemain automotif tempatan meliberasasikan industri itu dengan tumpuan kepada kepada teknologi hijau, pembangunan teknologi, pembangunan modal insan, peluasan pasaran dan penambahbaikan ekosistem industri automotif.

Justeru, antara pencapaian NAP 2014 yang dilancarkan pada 21 Januari 2014 sehingga Disember 2018 itu adalah 62 peratus daripada kenderaan di negara ini menepati spesifikasi EEV manakala eksport komponen dan alat ganti turut meningkat secara mendadak.

“Pada 2014, eksport komponen sekitar RM4.6 bilion dan angka itu mencatat sebanyak RM12.1 bilion setakat tahun lepas iaitu peningkatan yang melebihi 100 peratus.

“Jika dilihat, NAP 2014 menyasarkan eksport komponen mencecah RM10 bilion dan ini membuktikan bahawa kita sudah mencapai sasaran tersebut.

“Malah, pada Jun lepas, angka itu mencecah sekitar RM7 bilion dan kita menjangkakan dapat mencapai sasaran tahun ini sebanyak RM13 bilion,” katanya.

Selain itu, NAP 2014 turut menyaksikan Malaysia menjadi hab bagi syarikat pengeluar kereta asing termasuk langkah Volvo menjadikan Malaysia sebagai hub pengeluaran, pembelian, kewangan, alat ganti dan latihan di ASEAN.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]